Tiga Teknologi Baharu Yang Diperkenalkan Pada Piala Dunia 2014

Tiga Teknologi Baharu Yang Diperkenalkan Pada Piala Dunia 2014

Diterbitkan pada June 16, 2014 oleh .

Temasya sukan paling besar di dunia sudah bermula jumaat lalu di Brazil. Piala Dunia 2014 yang merupakan temasya Piala Dunia yang ke 20 dilangsungkan sejak tahun 1930.  Penggunaan teknologi dan bola sepak tidak dapat dipisahkan. Sebagai contoh Piala Dunia 1970 adalah merupakan temasya pertama yang disiarkan sepenuhnya secara berwarna. Dia Piala Dunia 2002 pula perlawanan bola sepak Piala Dunia pertama diadakan di dalam stadium tertutup Sapporo Jepun. Pada tahun 2010 pula buat pertama kalinya terdapat siaran perlawanan pada resolusi HD.  Kami difahamkan pada Piala Dunia 2022 di Qatar pula belon udara akan diterbangkan di atas stadium bagi menghasilkan bayang-bayang yang akan menyejukkan pemain di atas padang. Bagaimana pula dengan Piala Dunia tahun ini? Apakah teknologi baru yang diperkenalkan? Mari lihat empat teknologi baru yang sempat kami temui

Siaran Dalam Resolusi 4K

Siaran 4K ialah format terkini yang bakal menggantikan format HD sekarang. Buat masa ini tidak ada satupun negara di dunia yang mampu memancarkan siaran langsung Piala Dunia pada resolusi 4K secara komersial. Hanya pihak BBC melakukan ujian siaran 4K Piala Dunia 2014 pada pengguna terpilih di United Kingdom. Sungguhpun begitu pihak Sony dengan kerjasama FIFA akan memancarkan tiga perlawanan Piala Dunia Brazil pada resolusi ini pada beberapa panggung wayang terpilih. Maklumat terperinci masih lagi belum jelas tetapi perlawanan akhir di Stadium Maracana 14 Julai kelak adalah salah satu perlawanan yang akan ditayangkan pada resolusi 4K.

World-Cup-4K

GoalControl – Teknologi Garisan Gol

27 Jun 2010 ialah hari yang tidak dapat dilupakan penyokong England. Frank Lampard berjaya menjaringkan gol untuk England ketika menentang Jerman. Malang bagi bekas pemain Chelsea ini pengadil dan penjaga garisan gagal melihat bola melintasi garisan gol dan jaringan beliau tidak dikira. England hancur dibelasah 4- 1 oleh pasukan Jerman dan sejak dari insiden ini keperluan teknologi garisan gol menjadi agenda utama FIFA untuk Piala Dunia. Temasya tahun ini teknologi garisan gol digunakan secara meluas.

Teknologi GoalControl yang dibangunkan sebuah firma yang berpengkalan di Jerman. Sebanyak 14 buah kamera dipasang di serata stadium, 7 diacukan kepada setiap gol. Dengan menganalisa sudut dari setiap kamera, GoalControl boleh menunjukkan dengan tepat sama ada bola sudah melintasi garisan gol ataupun tidak. Teknologi ini digunakan buat pertama kali untuk memastikan Karim Benzema benar-benar sudah menjaringkan gol kedua Perancis ketika menentang Honduras pagi ini.

Teknologi serupa digunakan di Liga Perdana Inggeris musim yang lalu. Sistem Hawkeye digunakan di EPL dan ia juga menggunakan sistem 14 kamera untuk menentukan sama ada jaringan gol dilakukan ataupun tidak. Liga Perdana Inggeris ialah satu-satunya liga yang menggunakan teknologi garisan gol buat masa ini. Mengapa ianya tidak digunakan secara meluas? Harga pemasangan sistem ini pada setiap stadium mencecah Euro 500 000. Ini bermakna kita perlu menunggu lebih lama untuk teknologi ini digunakan di Liga Super Malaysia

GoalControl-Fifa-2014

Siaran Secara Langsung Di Dalam Pesawat

Buat pertama kali juga di dalam sejarah, kesemua 64 perlawanan dapat ditonton secara langsung walaupun ketika anda di dalam pesawat. Saluran Sports24 mengumumkan 9 syarikat penerbangan bekerjasama dengan mereka untuk menyiarkan kesemua perlawanan secara langsung pada pesawat terpilih. Antara syarikat penerbangan yang dilaporkan memberikan perkhidmatan ini ialah Emirates, Lufthansa,  Etihad dan Turkish Airline. Dalam kes Etihad siaran langsung ini boleh diikuti di dalam pesawat Boeing 777 milik mereka. Kesemua penumpang tidak mengira kelas pertama, perniagaan ataupun ekonomi mampu menonton siaran Piala Dunia tanpa gangguan. Pada piala dunia sebelum ini, Etihad hanya menawarkan perkhidmatan keputusan terkini yang dipaparkan pada skrin sistem hiburan pesawat. Ini semestinya idea yang baik bagi penggila bolasepak yang dalam perjalanan merentas benua.

Live-Wordl-Cup

Kami berharap pada Piala Dunia 2018 kelak akan ada teknologi ulang tayang video yang membolehkan pengadil melihat dulu ulang tayang sebelum mengenakan kad merah ataupun memberi sepakan penalti. Dalam perlawanan Brazil menentang Croatia kita sudah melihat bagaimana lakonan tahap Vikingdom Fred memberikan penalti yang tidak adil kepada tuan rumah.

Seperkara lagi mungkin kalau diwujudkan kemampuan menonton perlawanan dari pandangan pemain sendiri. Kamera mini GoPro dipasang pada jersi pemain bolasepak dan kita boleh memilih untuk menonton dari pandangan Messi ataupun Ronaldo pada masa hadapan.

Apakah pula teknologi baru yang anda mahu diketengahkan oleh FIFA pada temasya Piala Dunia masa hadapan? Kongsikan pendapat bergeliga anda di bawah.

 

 


TIPS & ULASAN