Echelon 2014: Sistem Pembayaran Atas Talian Di Asia Tenggara

Echelon 2014: Sistem Pembayaran Atas Talian Di Asia Tenggara

Diterbitkan pada June 16, 2014 oleh .

Kaedah pembayaran atas talian telah berubah secara drastik sejak 10 tahun yang lepas. Sekiranya dahulu pembayaran dibuat melalui kaedah kad kredit, kini pengguna disajikan dengan pelbagai pilihan pembayaran antaranya melalui caj selular, PayPal, dan terbaru melalui pembayaran matawang kripto-currency seperti Bitcoin. Perkara ini dibincangkan pada acara Echelon 2014 dan Danny Crichton selaku penulis di TechCrunch menjadi moderator bagi mengulas sedikit mengenai kaedah pembayaran atas talian di Asia Tenggara.

Apabila ditanya mengenai pembayaran alternatif seperti Square, Stripe dan Braintee di pasaran Asia Tenggara, Paul Leishman selaku Ketua Pegawai Operasi Coda Payments menyatakan kesemua kaedah dan infrastruktur pembayaran tersebut masih belum sedia digunakan di rantau ini. Perkara ini dipersetujui oleh Rahul Shingal dari PayPal Asia Pasifik dengan mengatakan mereka ingin fokus kepada pengalaman pengguna dan menawarkan kaedah pembayaran yang lebih mudah untuk digunakan di sini.

Isu mengenai Bitcoin dan bagaimana pembayaran ini efektif untuk digunakan di pasaran Asia telah diulas oleh Gilberto Arredondo selaku Ketua Pegawai Komersial bagi Fastacash. Beliau menyatakan Bitcoin agak sedikit sukar untuk digunakan sebagai kaedah pembayaran utama di Asia Tenggara buat masa ini. Ini mungkin berikutan tidak ramai yang membuat proses mining Bitcoin yang memerlukan komputer berkuasa tinggi dan akhirnya tidak ramai yang memiliki Bitcoin. Tambahan lagi, isu mengenai tidak banyak negara yang menerima kripto-currency sebagai matawang yang sah turut menjadi faktor ia tidak sesuai diimplementasikan sini buat masa ini.

Sebelum tirai perbincangan dilabuhkan, Elias Ghamen, Pengasas dan CEO dari Telr.com mengambil berat mengenai kaedah pembayaran Cash On Delivery (C.O.D) yang menyumbang sedikit komplikasi kepada kaedah pembayaran atas talian. Ia menyebabkan kaedah pembayaran menjadi tidak efisien dan sedikit sebanyak membuang masa terutama ketika menunggu temujanji bersama pelanggan. Selain itu, kaedah ini juga menyumbang kepada kadar pembatalan jualan yang tinggi apabila pelanggan tidak membeli barang pada saat-saat akhir. Perkara ini disentuh kerana kaedah pembayaran C.O.D adalah salah satu kaedah pembayaran paling popular di Asia Tenggara.

Artikel kiriman: Shariff Raffi


TIPS & ULASAN