Cari @ Amanz

Xiaomi Mi3 dan power bank Xiaomi mendatangkan kejutan di pasaran Malaysia sejak 3 minggu kebelakangan ini. Kesemua unit telefon pintar dan bateri tambahan yang dijual pada harga mampu milik Xiomi terjual dalam masa hanya beberapa minit. Kegilaan orang ramai yang cuba mendapatkan barangan Xiaomi menunjukkan mungkin akhirnya label “jenama dari China tak boleh dipercayai” akhirnya bakal pupus. Bagi memberikan lagi pilihan kepada pengguna, Xiami Redmi Note pula memasuki pasaran Malaysia dalam masa beberapa minggu lagi.

Xiaomi Redmi Note
Pemproses 1.7 GHz Lapan Teras Mediatek
RAM 2 GB
Muatan Dalaman 8 GB dengan sokongan kad MikroSD
Kamera Utama 13 MP dengan flash
Kamera Depan 5 MP
Skrin 5.5″ IPS LCD 720P
Bateri 3200 mAh

Apakah Xiaomi Redmi Note? Ianya peranti dengan skrin 5.5 “LCD IPS yang diperkasakan pemproses lapan teras 1.7 Ghz Mediatek MT6592. RAM sebesar 2 Gigabyte dengan muatan dalaman sebanyak 8 Gigabyte dengan sokongan penambahan memori dalaman sehingga 32 Gigabyte. Redmi Note ialah sebuah peranti dwi-sim dan yang menarik ialah ia menggunakan 2 kad SIM bersaiz normal. Kemampuan optik pula ialah 13 Megapixel untuk kamera utama dan 5 Megapixel untuk kamera hadapan. Skrin pula ialah dari keluarga IPS LCD dengan resolusi 720P. Bateri sebesar 3200 mAh melengkapi spesifikasi Redmi Note. Walaupun mempunyai saiz skrin dan diberikan nama Note, Redmi Note tidak didatangi dengan sebuah stylus seperti Galaxy Note 3 ataupun Asus Fonepad Note FHD 6.

Keseluruhan tubuh peranti ini diperbuat daripada bahan plastik keras. Panel belakang plastik ini boleh dibuka bagi memberikan akses kepada bateri, 2 slot SIM dan slot MikroSD. Ianya harus dikupil dan agak sukar untuk ditanggalkan. Redmi Note juga adalah agak berisi dengan tebal mencecah 9.5 milimeter. Kebanyakan peranti terkni sekarang mempunyai ketebalan kurang dari 7 milimeter. Sungguhpun begitu rekaan panel belakangnya melengkung bagi memastikan genggaman yang selesa. Walau bagaimanapun panel belakang ini agak licin dan tidak bertekstur. Adalah lebih menarik sekiranya ianya sedikit bergetah seperti Fonepad Note FHD 6.

Butang kuasa dan kawalan suara yang diperbuat daripada plastik terletak pada bahagian kanan peranti. Ianya selesa ditekan dan dibina dengan kukuh. Tiada masalah butang yang longgar. Pada bahagian bawah terdapat port mini USB untuk mengecas dan jack fon telinga diletakkan pada bahagian asas. Sebuah pembesar suara mono terletak pada bahagian belakang. Tiada ada apa-apa yang menakjubkan dari segi rekaan Redmi Note. Tiada panel tepi diperbuat daripada besi ataupun panel dari bahan binaan eksotik seperti kulit. JIka anda sukakan peranti yang mempunyai rekaan minimalistik anda pasti tertarik dengan estetik Redmi Note.

[amanz-gallery]

Penggunaan

Sistem operasi Android Jelly bean dengan antaramuka MIUI ROM digunakan pada peranti ini. MIUI ROM ialah antara ROM yang popular di kalangan pengguna Android dengan kemampuan kustomasi tema yang agak besar. Rekaan ikon adalah rata dan cantik untuk dilihat.  Redmi Note menggunakan butang kapasitif untuk mengawal peranti. Butang home ditengah-tengah dihimpit butang back pada bahagian kanan dan butang menu pada sebelah kiri. Untuk melancarkan skrin multi tasking anda perlu menekan butang menu untuk beberapa saat. Google Now pula boleh dilancarkan dengan menekan butang home selama beberapa saat. Tidak perlu menekan butang home dan kemudian mentatal ke atas seperti antaramuka yang digunakan Sony. Seperti majoriti peranti dari tanah besar China, MIUI ROM tidak mempunyai talam aplikasi. Kesemua aplikasi yang dimuat turun akan diletakkan pada muka depan seperti iOS. Secara peribadi kami kurang gemar antaramuka tanpa talam aplikasi ini.

Dalam penggunaan selama sehari kami tidak lagi mengesan sebarang masalah ataupun sela masa. Masalah bahagian belakang yang panas juga tidak berlaku setakat ini sungguhpun selepas digunakan untuk beberapa ketika. Kerana saiz skrin yang besar, agak sukar untuk menggunakan peranti dengan sebelah tangan. Kami tidak menjumpai sebarang fungsi khas sebelah tangan pada menu MIUI ROM. Ini boleh dianggap sebuah kekurangan kerana pesaing Redmi Note meletakkan fungsi penggunaan sebelah tangan seperti papan kekunci dan paparan skrin yang boleh dikecilkan yang terdapat pada Samsung Galaxy Note 3

 

Kesimpulan

Akhirnya sebuah phablet dari Xiaomi. Sekilas pandang ianya mungkin kelihatan biasa dan tidak menyerlah. Tetapi apabila ianya di dalam tangan kami ianya selesa dipegang walaupun kami berharap panel belakangnya tidak selicin seperti sekarang. Kami risau gabungan phablet yang tebal dan peranti yang agak berat akan membuatkannya mudah tergelincir dari tangan. Kemasan yang minimalistik tetapi dibina dengan baik. Skrin kelihatan cantik walaupun hanya pada resolusi 720P. Pilihan pemproses lapan teras dari keluarga Mediatek mungkin sedikit mengecewakan kerana ramai pengguna lebih menggemari pemproses Snapdragon. Mungkin ini pilihan Xiaomi untuk mengurangkan kos pengeluaran. Secara keseluruhan peranti dwi sim ini tampak cantik.

Dari segi penggunaan setakat ini kami tidak sedari sebarang sela masa ataupun masalah ketika menggunakannya. Kesemua aplikasi utama yang kami gunakan seperti Instagram dan Twitter berfungsi tanpa masalah (tidak seperti peranti yang menggunakan pemproses Intel Atom). Antaramuka MIUI ROM adalah ceria dan mudah digunakan tanpa mengorbankan kemampuan melakukan pelbagai kustomasi. Tema baru boleh dimuat turun dengan mudah dengan pilihan yang agak besar.

Dari pandangan pertama, Xiaomi Redmi Note ada ciri-ciri phablet underdog yang mungkin boleh mengejutkan pesaing di luar sana. Nantikan ulasa penuhnya dalam masa seminggu.

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan minimalistik tetapi tegap
  • Antaramuka MIUI yang ceria dan cantik. Terdapat pelbagai fungsi tambahan yang tidak ada pada Android Vanilla.
  • Mudah untuk melakukan kustomasi dengan pelbagai tema yang sedia dimuat turun
  • Spesifikasi yang menarik dengan pemproses lapan teras.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tiada sokongan LTE
  • Masih Android Jelly Bean
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd