Samsung Dijangka Memperkenalkan Jam Tangan Pintar Berasaskan Android Wear Di Google I/O

Samsung Dijangka Memperkenalkan Jam Tangan Pintar Berasaskan Android Wear Di Google I/O

Diterbitkan pada June 21, 2014 oleh .

Samsung sedia mempunyai beberapa jam tangan pintar mereka menggunakan platform operasi berbeza. Terkini, ia turut diperkatakan yang mana Samsung akan memperkenalkan jam tangan pintar berasaskan kepada Android Wear ketika acara Google I/O kelak.

Android Wear telah diperkenalkan oleh Google beberapa bulan yang lepas, dimana ia merupakan platform operasi berasaskan Android yang memfokuskan kepada peranti boleh-pakai, terutamanya jam tangan pintar. Beberapa rakan kerjasama sedia diumumkan, termasuk LG dan Motorola untuknya.

Samsung dikatakan sedang menguji jam tangan pintar Android Wear menggunakan cip pemprosesan sendiri dan juga cip pemprosesan daripada Qualcomm. Namun, versi manakah yang akan dilancarkan secara rasmi masih menjadi tanda tanya buat masa ini.

Untuk makluman, Samsung sedia menggunakan Android pada Galaxy Gear versi asal, tetapi kerana ia tidak dioptimasikan untuk penggunaan jam tangan pintar ketika itu, mereka telah hadir dengan peranti baru berasaskan kepada Tizen melalui Gear 2 dan juga Gear 2 Neo.

Walaupun terdapat beberapa syarikat lain yang turut akan hadir dengan jam tangan berasaskan Android Wear, namun memandangkan Samsung mempunyai daya pemasaran yang lebih tinggi, tidak mustahil untuk mereka memberikan persaingan sihat untuk pengeluar Android Wear yang lain.

Google bakal mengadakan acara Google I/O pada minggu hadapan, dimana mereka dijangka akan berkongsi beberapa perkara, termasuk berkenaan dengan Android dan juga Chrome.


TIPS & ULASAN