Cari @ Amanz

Pemacu cakera keras merupakan satu komponen yang penting dalam komputer dan ia merupakan tempat tersimpannya semua jenis data, dari data sistem operasi sehinggalah data peribadi seperti gambar dan video. Pemacu cakera keras didatangkan dalam pelbagai variasi dan salah satu variasi terpantas datang dari Western Digital iaitu Velociraptor.

Velociraptor adalah nama yang diberikan kepada pemacu cakera keras yang beroperasi pada kadar kelajuan 10,000rpm (rotation per minute). Siri terpantas ini telah dikeluarkan sejak tahun 2003 dengan nama Raptor sebelum ditukar kepada Velociraptor. Kami berpeluang untuk menggunakan Velociraptor terbaru (WD1000DHTZ) berkapasiti 1TB.

wd-4

Bentuk Fizikal

Cakera keras ini didatangkan pada saiz 3.5inci dan pemasangannya adalah seperti pemacu cakera keras yang biasa. Namun begitu, saiz sebenar pemacu ini adalah 2.5 inci yang diletakkan dalam kerangka yang dipanggil IcePack untuk menyejukkan pemacu ini. Walaupun ia bersaiz 2.5 inci, ia tidak boleh digunakan untuk laptop kerana haba yang dijana. Ia menggunakan sambungan yang biasa diperoleh iaitu SATA-2.

wd-1

Prestasi

Pemacu cakera keras biasa beroperasi pada kelajuan 5,400 rpm. Sesetengah model pula beroperasi pada kelajuan 7,200 rpm. Velociraptor yang menawarkan kelajuan 2 kali ganda berbanding biasa sememangnya menawarkan lebih banyak manfaat buat pengguna profesional seperti video editor, jurugambar, pengendali server, dan mereka yang memerlukan operasi pantas.

Melalui ujian ringkas dalam memulakan permainan video dan menonton video bersaiz besar (4GB), video yang diletakkan didalam pemacu Velociraptor dapat dimainkan dalam masa 1-2 saat berbanding pemacu biasa (WD Blue). Namun perbezaan ini tidak dapat dilihat secara ketara. Dalam proses rendering pula ia mengurangkan masa rendering sebanyak 10-20%. Melalui ujian boot, OS yang di-boot dari Velociraptor memakan masa kurang dari 5 saat sebelum ke paparan login.

Carta Perbandingan Kelajuan (menggunakan perisian Crystal Disk Mark untuk 1000MB)
Model Read [MegaBait/saat] Write [MegaBait/saat]
WD Blue 139.6 122.5
WD Velociraptor 210.3 206
WD Black² 403.6 147.3

Sepanjang tempoh pengujian, terdapat perbezaan yang besar jika dibandingkan dengan model-model yang lain. Berdasarkan jadual diatas, meskipun kelajuan Black2 iaitu peranti gabungan SSD + HDD untuk Read lebih pantas dari Velociraptor, ia tidak dapat menandingi kelajuan Write Velociraptor. Malahan, kapasiti SSD Black2 yang kecil (120 GB ) boleh dilihat sebagai suatu kekurangan.

Perlu diingatkan sehingga kini, harga SSD boleh dikatakan mahal berbanding kapasiti storan yang ditawarkan. Namun sekiranya anda sukakan kenipisan, dan ingin memasang pemacu yang laju pada laptop, sudah tentu SSD menjadi pilihan anda. Untuk video editor, jurugambar yang biasanya menggunakan desktop, Velociraptor dilihat sebagai pilihan yang lebih bernilai.

wd-3

Pro

  1. Pemacu HDD yang laju mempercepat proses mengakses fail.
  2. Murah berbanding SSD dan menawarkan kapasiti storan yang lebih berbanding SSD.

Kontra

  1. Sekiranya anda telah menggunakan SSD, maka kelajuan Velociraptor tidak dapat dirasai dengan nyata.

Pemacu ini dijual pada harga RM 728 beserta jaminan terhad selama lima tahun melalui pengedar dan penjual yang sah.

Skor Amanz-VELOCIRAPTOR

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd