Teknologi memfokuskan kepada sokongan realiti-maya telah menjadi salah satu bualan ramai akhir-akhir ini. Facebook sendiri telah mengambil-alih Oculus Rift dalam menyertai arena tersebut, selain Sony yang telah menyatakan akan hadir dengan Project Morpheus.
Google nampaknya turut tidak ingin ketinggalan dalam arena realiti-maya, dan telah memperkenalkan projek ringkas mereka, Google Cardboard.
Google menyatakan ia dibangunkan melalui projek 20% masa terluang Google, dan ia menggunakan beberapa bahan disekitar kita untuk hadir dengan sebuah “peranti” realiti maya.
Google menyediakan sebuah halaman khas untuknya, dimana untuk membuatnya, pengguna hanya memerlukan sebuah kotak, dua lensa, dan menggunakan peranti Nexus 4, Nexus 5, Galaxy S4, atau Galaxy S5 dan menikmati fungsi realiti-maya.
- Layari : Google Cardboard
Bagi anda yang berminat, boleh memuat-turun rekaan kotak yang disediakan Google, dan membuatnya sendiri menggunakan beberapa bahan yang mudah didapati. Google turut menyediakan beberapa demo khas untuknya, selain turut menyediakan sebuah aplikasi khusus untuk Cardboard ini.
Walaupun ramai yang mungkin beranggapan ia sebagai sebuah projek “main-main” daripada Google, namun ia tidak mustahil untuk Google bekerjasama dengan beberapa pengeluar untuk hadir dengan produk realiti-maya mereka tersendiri. Apatah lagi dengan pihak Google sendiri yang menyediakan perisian untuk pembangun hadir dengan projek mereka tersendiri untuk Google Cardboard ini.