Cari @ Amanz

Bulan Ramadhan yang ditunggu oleh kebanyakan muslim menjelang tiba esok. Pada zaman yang moden ini, banyak aplikasi khusus untuk bulan Ramadhan turut diterbitkan. Disini kami kongsikan beberapa aplikasi baru yang hadir untuk bulan Ramadhan tahun ini untuk pengguna iOS.

Iftar – Digital Ark Malaysia

iftar-app

Aplikasi buatan tempatan ini mempunyai beberapa fungsi utama dan menariknya kebanyakan informasi tersebut boleh dilihat pada halaman pertama. Antara fungsi yang boleh diketahui termasuklah waktu imsak, waktu berbuka, waktu solat, kiraan tempoh masa sebelum berbuka, kompas kiblat, dan kesemua fungsi ini turut menggunakan geolokasi pengguna.

Ibadah – Dian Agus Triadi

ibadah-app

Aplikasi buatan pembangun dari Indonesia ini mempunyai satu fungsi yang menarik iaitu Tadarus dan halaman Puasa Sunat. Melaluinya, pengguna boleh melihat peratusan mereka dalam melengkapkan bacaan al-Quran disamping mendapatkan informasi berkenaan amalan Puasa Sunat yang lain. Selain itu fungsi yang lain termasuklah waktu solat dan kompas kiblat. Meskipun ianya hadir dalam Bahasa Indonesia, kami yakin tiada masalah buat pembaca untuk memahaminya.

Ramadan – Gihad Chbib

ramadan-app

Aplikasi ini pula hadir dengan penekanan kepada senarai amalan-amalan yang boleh dilengkapkan sepanjang bulan Ramadhan. Antara amalan yang ditekankan adalah bilangan surah yang dibaca, bilangan rakaat solat Terawih, Qiamulail, sedekah yang diberikan serta amalan kebaikan atau kejahatan yang dilakukan. Kesemua senarai semak amalan ini juga dipaparkan mengikut hari sepanjang bulan Ramadhan dan pengguna juga boleh menandakan sekiranya terdapat hari yang mereka tidak berpuasa.

Athan Pro – Quantic Apps 

athanpro

Antara kesemua aplikasi yang disebutkan, aplikasi Athan Pro ini mempunyai lebih banyak fungsi tersedia untuk pengguna. Selain dari fungsi waktu solat, waktu imsak, dan kompas kiblat yang biasa ditemui, aplikasi ini turut meyertakan tasbih, senarai Asma-ul-Husna dan paparan antaramuka yang minimalis memaparkan masjid-masjid utama seluruh dunia. Ia juga turut memaparkan lokasi masjid terdekat serta restoran halal terdekat namun bagi carian restoran halal terdekat, ia tidak berapa tepat memandangkan ia hanya menyenaraikan restoran yang wujud dalam laman web.

Aplikasi yang kami senaraikan tahun lepas untuk iOS juga masih boleh digunakan dan sesetengahnya turut menyediakan kemaskini untuk tahun ini. Kami harap dengan perkongsian aplikasi ini sedikit sebanyak dapat membantu pembaca muslim dalam melipatgandakan amalan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd