Cari @ Amanz

Bayangkan dua situasi yang biasa berlaku di lapangan terbang di bawah. Situasi pertama ialah anda sudah lewat ke lapangan terbang dan kemudian harus gigih mencari ruang kosong pada kawasan letak kereta. Situasi kedua pula ialah anda baru tiba dari luar negara setelah terbang selama 14 jam berterusan. Anda perlu mencari kereta anda tetapi anda terlupa kerana sudah kepenatan. Dua situasi ini pernah kami lalui sejak zaman berzaman dan kami berharap ada penyelesaian yang akan dihasilkan.

serva-8Buat masa ini satu-satunya tempat yang mempunyai penyelesaian kepada masalah kami terletak di Lapangan Terbang Dusseldoff Jerman. Mereka menggunakan sistem meletak kereta robotik yang diberi nama Ray. Dengan menggunakan sistem ini anda tidak perlu lagi risau mencari tempat letak kereta. Hanya letakkan kereta anda pada ruang menunggu Ray dan ambil tiket. Ray kemudian akan mengangkat kereta anda ke ruangan kosong secara automatik.

Apabila ingin pulang pula kereta anda akan dibawa ke tempat anda menunggu oleh Ray. Sistem ini dihasilkan oleh Serva System dan menurut mereka ianya juga dapat meningkatkan ruang tempat letak kereta sesebuah bangunan sehingga 60%. Ini adalah kerana ruang antara kereta ketika disimpan adalah lebih kecil dari biasa kerana tidak perlu ada ruang membenarkan individu keluar dan masuk.

Sistem ini nampak menarik tetapi kami rasa Malaysia belum bersedia untuk sistem sebegini kerana kosnya yang mahal. Jika wujud di Malaysia adakah anda mempercayai sistem robotik yang digunakan ataupun anda risau kerana ianya mungkin permulaan Skynet.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd