Telekom Malaysia Bakal Hadir Dengan Perkhidmatan Mudah-Alih 4G LTE Dinamakan “TMgo”

Telekom Malaysia Bakal Hadir Dengan Perkhidmatan Mudah-Alih 4G LTE Dinamakan “TMgo”

Diterbitkan pada July 3, 2014 oleh .

Desas-desus berkenaan dengan perkhidmatan 4G LTE daripada Telekom Malaysia bukanlah sesuatu yang baru. Menariknya, hari ini sebuah halaman hadir ke laman Telekom Malaysia, memperlihatkan mereka akan hadir dengan perkhidmatan tersebut tidak lama lagi.

TM 4G LTE - TMgo

Melalui halaman yang diterbitkan itu, Telekom Malaysia mengatakan TMgo sebagai perkhidmatan LTE pertama di Malaysia yang mana menawarkan rangkaian yang stabil dan pantas. Untuk makluman, pihak TM sedia mempunyai sebuah aplikasi dinamakan TMgo sebelum ini, tetapi dengan pengenalan HyppMe, ia mungkin telah ditamatkan. Apatah lagi, nama TMgo memberikan idea menggunakan perkhidmatan internet TM ketika bergerak.

TM 4G LTE - TMgo

Dua pilihan modem disediakan, dimana satu berfungsi sebagai USB yang perlu dihubungkan ke komputer riba untuk menggunakannya, sementara satu lagi merupakan modem mudah-alih yang pengguna boleh berkongsi akan taliannya bersama-sama rakan-rakan dan ahli keluarga lain.

TM 4G LTE - TMgo

Pihak Telekom Malaysia dilihat mungkin menyediakan beberapa pakej untuknya (mungkin draft awal?). Buat masa ini, daripada halaman web yang masih dalam pembangunan tersebut, Telekom Malaysia memperlihatkan pilihan pelan mengikut hari, dimana pengguna boleh menikmati penggunaan data sehingga 3GB pada harga RM40 untuk sebulan, ataupun pada harga RM10 untuk sehari bagi penggunaan 2GB.

TM 4G LTE - TMgo

TMgo juga dilihat akan diperkenalkan dibeberapa kawasan terhad terlebih dahulu, iaitu sekitar Pendang, Kedah, dan juga Melaka Tengah, Melaka. Perkara ini juga selari dengan beberapa desas-desus sebelum ini mengatakan pihak Telekom Malaysia menguji rangkaian 4G LTE di Kedah. Berkemungkinan TMgo akan ditawarkan di lokasi-lokasi yang tidak diliputi oleh Unifi ketika pengenalannya.

Buat masa ini, ia tidak lagi diketahui bilakah pihak Telekom Malaysia akan memperkenalkan TMgo secara rasminya. Beberapa halaman web masih tidak diterbitkan lagi, membuatkan info mengenainya tidak menyeluruh. Info yang sedia diterbitkan juga mungkin berubah pada masa pelancarannya kelak. Kami telah menghubungi pihak Telekom Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

Jadi, apa kata anda berkenaan perkhidmatan rangkaian 4G LTE daripada Telekom Malaysia ini?

Bacaan lanjut : FAQ TMgo

Tips daripada Ikhwan.


TIPS & ULASAN