Cari @ Amanz

Nama Hewlett Packard sangat gah dalam penghasilan komputer peribadi dan mesin pencetak. Dalam dunia peranti mobil pula HP masih belum cukup terkenal sungguhpun sudah menghasilkan telefon pintar sejak tahun 2004 lagi. Pada suatu ketika mereka menghasilkan telefon pintar iPaq yang menggunakan sistem operasi Windows Mobile dan kemudian berubah ke WebOS. Mereka juga membeli syarikat pengeluar peranti Palm yang juga gagal menarik minat pengguna di luar sana. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini mereka mula menghasilkan peranti pintar yang menggunakan Android. Adakah percubaan kali ini bakal berjaya atau semuanya sudah terlambat buat HP?

HP Slate6 Voice Tab
Pemproses 1.2 GHz Empat TerasMarvell PXA1088
RAM 1 GB
Muatan Dalaman 32 GB dengan sokongan kad MikroSD
Kamera Utama 5 MP dengan flash
Kamera Depan 2 MP
Skrin 6″ IPD LCD 720P
Bateri 3000 mAh

HP Slate6 Voice Tab ialah phablet 6″ yang diperkenalkan Januari lalu. Ianya sebuah peranti kelas permulaan yang diperkasakan pemproses 1.2 GHz empat teras Marvell PXA1088, 1 Gigabyte RAM dan muatan dalaman sebesar 16 Gigabyte. Kemampuan optik pula ialah 5 Megapixel pada bahagian belakang dengan flash dan 2 Megapixel pada bahagian hadapan. Skrin 6″ peranti ini adalah dari keluarga IPS LCD dengan resolusi 720P.  Ia turut dilengkapi bateri sebesar 3000 mAh.

Dari segi rekaan peranti ini jelas menunjukkan ianya sebuah peranti kelas permulaan. Kesemua bahagian tubuh dan kemasannya diperbuat daripada plastik. Oleh sebab itu ianya sangat ringan sungguhpun mempunyai skrin sebesar 6″. Ianya jauh lebih ringan dari Xperia T2 Ultra yang mempunyai saiz yang berpadanan. Panel belakangnya mempunyai rekaan grafik seperti celoreng digital yang digunakan oleh kebanyakan anggota tentera sekarang. Rekaan digital ini memberikan ilusi seperti ianya diperbuat daripada gentian kaca dan memberikan tekstur yang kasar.

Butang kuasa terletak pada bahagian kanan manakala butang kawalan suara terletak pada bahagian kiri. Kedua-dua butang diperbuat daripada plastik. Kedudukan butang adalah sedikit tinggi dan kami rasakan adalah lebih logikal sekiranya butang-butang ini diletakkan bawah sedikit dari kedudukan sekarang bagi memudahkan pengguna menekannya. Pada bahagian atas pula terletak jack fon kepala dan slot MikroUSB untuk pengecasan.Terdapat sepasang pembesar suara stereo juga pada bahagian hadapan peranti ini

Panel belakang apabila dibuka akan memperlihatkan 2 slot sim dan sebuah slot penambahan memori dalaman MikroSD. Ianya menyokong penambahan memori dalaman sehingga 64 Gigabyte. Bercakap tentang SIM, slot SIM pada peranti ini adalah sedikit aneh kerana mempunyai dua saiz berbeza. Satu slot untuk MikroSIM dan satu lagi untuk MiniSIM.

Secara keseluruhan peranti ini mempunyai rekaan yang konservatif berbanding phablet lain yang ada di pasaran. Tiada gimik kemasan metalik ataupun bahan eksotik seperti kulit. Ianya terasa amat plastik dan mengingatkan kami kepada Galaxy Note generasi pertama yang muncul 4 tahun yang lalu.

[amanz-gallery]

Antaramuka

Slate 6 Voice Tab menggunakan antaramuka Android asal tanpa diubah dengan drastik oleh pihak Hewlett Packard. Ianya masih menggunakan sistem operasi Android 4.2.2 Jelly Bean. Pembaca Amanz pastinya tahu kami kurang gemar dengan peranti baru yang masih menggunakan sistem operasi versi lama. Kemasan 4.2.2 diperkenalkan oleh Google pada Februari 2013. Dalam tempoh 16 bulan sejak 4.2.2 diperkenalkan ,sudah ada 7 kemas kini dilakukan oleh Google. Adalah kurang munasabah peranti yang diperkenalkan pada Januari 2014 masih menggunakan 4.2.2.

Tiada fungsi khas untuk phablet diberikan pada Slate 6 Voice Tab. Anda gemarkan stylus? Maaf tiada stylus terbina diberikan. Anda mahukan fungsi memudahkan penggunaan sebelah tangan? Maaf ini juga tidak wujud. Bagaimana pula dengan fungsi memaparkan lebih dari satu aplikasi secara serentak, sebuah fungsi yang kini dianggap biasa pada phablet -phablet lain di pasaran” Sekali lagi maaf tetapi fungsi ini juga tidak wujud.  Slate 6 Voice Tab hanyalah sebuah telefon pintar yang diberikan saiz phablet tanpa fungsi khas yang membuatkannya lebih menarik untuk dimiliki.

 

Penggunaan Harian

Rekaan dan sistem operasi phablet ini mungkin mengecewakan tetapi sepanjang tempoh ujian kami tidak menemui sebarang masalah besar. Melancarkan aplikasi secara serentak tidak menjadi masalah selagi anda menghadkannya kepada kurang daripada 5 aplikasi sekaligus. Ini adalah kerana apabila terlalu banyak aplikasi dilancarkan masalah sela masa mula timbul.Sela masa juga sangat jelas kelihatan apabila tatalan dilakukan semasa menggunakan Chrome ataupun Twitter. Kelajuan tatalan tidak selancar peranti kelas pertengahan yang kerap kami ulas

Slate 6 Voice Tab hanya dilengkapi RAM sebanyak 1 Gigabyte. Oleh sebab itu prestasinya agak terhad. Walaubagaimanapun [peranti juga tidak mempunyai masalah panel belakang menjadi panas selepas digunakan untuk tempoh masa yang panjang.

Kamera

Kamera utama peranti ini ialah sebesar 5 Megapixel manakala kamera hadapan pula sebesar 2 Megapixel. Ini adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan phablet-phablet lain di pasaran yang mempunyai saiz sensor di antara 8-13 Megapixel.  Aplikasi kamera mempunyai fungsi kamera asas dan tidak mempunyai fungsi tambahan. Pada resolusi paling tinggi, gambar yang diambil mempunyai nisbah 4:3 dan bukannya 16:9. Kemampuan merekod video pula terhad kepada 720P.

Dari sampel – sampel gambar di bawah jelas kelihatan kemampuan mengambil gambar peranti ini adalah rendah. Penghasilan warna tidak berapa tepat dan sedikit kusam. Gambar yang diambil pada situasi pencahayaan rendah mempunyai masalah grain serta dedahan berlebihan pada punca cahaya. Imej juga kurang tajam dengan tona warna terlalu kekuningan.




Penanda Aras

HP Slate6 Voice Tab ialah  peranti empat teras dengan markah penanda aras terendah dalam sejarah ulasan Amanz. Ianya menggantikan Alcatel One Touch Hero dan ini tidak mengejutkan kerana ia menggunakan pemproses Marvell yang jarang digunakan. Peranti ini tidak sesuai digunakan sebagai platform memainkan aplikasi permainan video. Sela masa jelas kelihatan pada aplikasi Chrome dan ketika skrin ditatal.  Sukar untuk mengesyorkan peranti ini kepada anda kerana kemampuannya yang sangat rendah.


 

Bateri

Ketahanan beteri 3000 mAh peranti ini adalah sederhana. Pada penggunaan sederhana ia mampu bertahan selama 16.5 jam manakala pada penggunaan berat ia mencecah 8 jam.  Kami berharap bateri dapat bertahan lebih lama kerana phablet ini tidak dilengkapi skrin beresolusi tinggi dan menggunakan pemproses kelas rendah.

 

Kesimpulan

Dengan spesifikasi rendah, kualiti binaan yang kurang menarik serta kemampuan kamera yang tidak memberangsangkan, sukar bagi kami untuk mengesyorkan HP Slate 6 Voice Tab kepada anda. Rekaan plastik mungkin meringankan berat peranti tetapi ia membuatkannya terasa sangat murah seperti sebuah peranti tiada jenama dari tanah besar China. HP bukanlah sebuah syarikat tanpa nama dan kami terkilan dengan rekaan yang boleh diklasifikasikan sebagai pemalas.

Dua pembesar suara pada bahagian hadapan adalah idea yang baik. Masalahnya bunyi yang dihasilkan pada tetapan suara paling tinggi sekalipun tidak cukup kuat. Kami juga menyedari pengeluaran bunyi tidak seimbang dengan pembesar suara pada bahagian atas peranti kuat sedikit dari bahagian bawah.

Dari ujian penanda aras  pula peranti ini mempunyai kemampuan yang rendah. Sungguhpun mempunyai pemproses 1.2 GHz empat teras, markah yang dicatatkan lebih rendah dari Galaxy Mega yang mempunyai pemproses 1.7 GHz empat teras. Jumlah RAM hanya 1 Gigabyte juga membuatkan tidak banyak aplikasi dapat dilancarkan sekaligus tanpa masalah sela masa semasa digunakan.

Kemampuan dwi-SIM mungkin menarik minat beberapa pengguna di luar sana tetapi pilihan dua saiz SIM berbeza adalah sedikit aneh. Terdapat sokongan penambahan memori dalaman sehingga 64 Gigabyte menggunakan kad MikroSD. Ini mungkin beberapa perkara positif yang boleh kami tulis mengenai peranti ini.

Kemampuan optik adalah sederhana. Kualiti gambar dari lensa 5 Megapixel adalah kurang tajam dan penghasilan warnanya agak kusam. Pada keadaan pencahayaan rendah terdapat masalah grain yang nyata serta dedahan berlebihan dari sumber cahaya. Kemampuan video juga hanya sehingga 720P sahaja.

Pasaran kini dipenuhi pelbagai phablet dengan gimik mereka yang tersendiri. Slate 6 Voice Tab tidak mempunyai sebarang gimik dan fungsi khas yang membuatkannya menyerlah di pasaran. Dengan harga saranan RM 999 sebuah, ini membutakan phablet ini kurang kompetitif. Terdapat beberapa lagi peranti di luar sana dengan spesifikasi yang lebih baik yang dijual pada harga yang lebih murah. Dari segi nilai wang kami merasakan ini bukanlah peranti yang boleh kami sarankan kepada anda. Kombinasi harga mahal dan kemampuan kurang memuaskan menyebabkan HP Slate 6 Voice Tab memenangi anugerah phablet paling rendah markahnya dalam sejarah Amanz.

PRO dan Kelebihan
  • Ringan dan selesa dipegang walaupun ianya peranti bersaiz besar dengan skrin 6″
  • Tidak mempunyai masalah panel belakang menjadi panas pada penggunaan berat
  • Menggunakan Android asal tanpa kustomasi berlebihan yang memberatkan penggunaan peranti.
KONTRA dan Kekurangan
  • Masih lagi Android Jelly Bean.
  • Kamera kurang memuaskan
  • Pembesar suara stereo tidak cukup kuat.
  • Harga tidak kompetitif

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd