Cari @ Amanz

Nama BlackBerry boleh dikatakan agak merudum sejak daripada tahun lepas, dan mereka telah membuat beberapa perubahan pada syarikat mereka, termasuk dari segi pentadbiran sehinggalah perancangan pengeluaran peranti. Salah satu perubahan yang dilakukan adalah dengan bekerjasama dengan pihak Foxconn untuk hadir dengan peranti baru menyasarkan negara-negara membangun.

BlackBerry Z3

BlackBerry Z3
Pemproses 1.2GHz Dwi-Teras Qualcomm
RAM 1.5GB
Muatan Dalaman 8 GB + MikroSD
Kamera Utama 5-megapixel
Kamera Depan 1.1-megapixel
Skrin 5-inci LCD
Bateri 2500 mAh

Peranti pertama hasil kerjasama tersebut adalah BlackBerry Z3, yang mana telah dilancarkan di Indonesia pada beberapa bulan lepas, dan kini akan mula dijual di Malaysia secara rasminya bermula minggu hadapan.

BlackBerry Z3 merupakan telefon pintar yang menggunakan sistem operasi BlackBerry 10, sekaligus menawarkan pelbagai fungsi-fungsi sama seperti telefon pintar utama lain daripada mereka, termasuk BlackBerry Z30, BlackBerry Z10 dan sebagainya.

BlackBerry Z3 turut hadir dengan sokongan skrin sentuh sepenuhnya, dan bahagian kerangkanya dilihat direkabentuk dengan amat baik dan diberikan perhatian teliti oleh BlackBerry. Bahagian belakang peranti membawakan binaan berasaskan plastik (rubberized) bertekstur, sekaligus memberikan keselesaan yang amat baik apabila dipegang. Rekaan belakang ini juga tampak berkualiti berbanding beberapa peranti lain dipasaran.

BlackBerry Z3

BlackBerry Z3

BlackBerry Z3

Bercakap mengenai rekaan peranti juga, beberapa perubahan lain yang dilakukan oleh pihak BlackBerry adalah termasuk mengalihkan ruangan pengecasan mikro-USB ke bahagian bawah, sekaligus memudahkan pengguna menggunakannya walaupun ketika mengecas tanpa gangguan – berbanding dengan BlackBerry Z30 dan Z10 yang mana ruangan pengecasannya pada bahagian tepi peranti.

Walaupun dua perubahan rekabentuk ini digemari kami, namun kami agak kurang menyukai perubahan butang kawalan suara dan butang kuasa ke bahagian kiri peranti – berbanding pada bahagian kanan sebelum ini. Ia agak janggal untuk mengawal menggunakannya, berkemungkinan kerana kami masih belum biasa dengannya buat masa ini.

BlackBerry Z3

BlackBerry Z3

Pada bahagian kanan peranti pula, BlackBerry Z3 menyertakan ruangan SIM dan juga kad-SD untuk membolehkan pengguna memperluaskan penggunaan ruangan storan pada peranti tersebut.

Bercakap mengenai sistem operasinya, BlackBerry 10, ia tidak membawakan sebarang perbezaan dan menawarkan pengalaman yang sama. Pengguna boleh mengakses BlackBerry Hub untuk menguruskan emel dan laman sosial disatu lokasi, disamping menggunakan sokongan gesture untuk mengawal peranti tersebut. Bagi mereka yang teknikal, anda turut boleh memasang aplikasi Android pada BlackBerry Z3 dan menggunakan beberapa aplikasi popular terus pada peranti anda.

BlackBerry Z3

Secara keseluruhan, kami agak menyukai BlackBerry Z3 ini – malah lebih mengemarinya berbanding BlackBerry Q5 yang hadir dalam kategori keluarga peranti yang sama.

BlackBerry Z3 bakal dijual di Malaysia bermula 7 Julai ini pada harga RM699. Berkemungkinan juga kita akan dapat melihat beberapa syarikat telekomunikasi menawarkan peranti ini.

[amanz-gallery]

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd