MirriAD : Teknologi Pengiklanan Di Dalam Video Bergerak

MirriAD : Teknologi Pengiklanan Di Dalam Video Bergerak

Diterbitkan pada July 5, 2014 oleh .

Media percetakan mengalami pengurangan permintaan ruangan iklan dari tahun ke tahun kerana pengguna kini lebih menggemari medium digital. Beberapa majalah berjenama besar seperti Newsweek terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kos produksi yang tinggi serta ruang iklan yang semakin tidak laku. Para pengiklan lebih menyukai iklan digital kerana ianya lebih mudah disasarkan kepada pengguna dari demografi tertentu serta kosnya yang jauh lebih murah bagi setiap unit (CPM).

Sungguhpun begitu iklan digital kini juga diancam oleh aplikasi seperti AdBlock. Iklan yang sepatutnya membawa keuntungan kepada pemilik laman sesawang dihalang paparannya. Di Youtube pula akui sahaja anda akan menekan butang “skip this ad” setiap kali iklan dimainkan sebelum video yang ingin anda tontoni. Jadi apakah yang boleh dilakukan oleh syarikat pengiklanan bagi menangani masalah ini dan pada waktu yang sama memaksimumkan keuntungan?

Jawapannya ialah MirriAd. Kini kandungan iklan boleh dipaparkan pada video bergerak dan pengguna tidak boleh menghalangnya. Iklan – iklan yang dipaparkan di dalam video boleh digantikan mengikut kehendak dan musim. Sebelum ini teknik meletakkan produk (product placement) di dalam video dilakukan oleh artis barat. Sebagai contoh fon kepala Beats dipaparkan secara terang- terangan di dalam video Britney Spears. Pengarah Michael Bay juga terkenal dengan meletakkan pelbagai produk di dalam filem beliau sehingga ada yang mengatakan filem beliau sebenarnya iklan sepanjang 2 jam setengah.

mirriad_ad_placement

MirriAd menggunakan teknik rotoskop dan kesan khas penggabungan digital (digital compositing) untuk memasukkan iklan tertentu ke dalam mana-mana video yang dikehendaki pengiklan tanpa anda sedari. Teknologi ini boleh diletakkan bagi menggantikan telefon model 5 dengan model 5S di dalam sesebuah video selepas model 5 tidak lagi relevan di pasaran. Jangan terkejut di masa hadapan anda menonton filem tahun 1995 tetapi memaparkan iklan produk tahun 2015 kerana teknologi MirriAd digunakan.

Teknologi semakin canggih dan iklan anda menghantui kini di mana-mana sahaja kita berada. Ini adalah sedikit menakutkan.

Mirriad Reel13 90Sec NU from mirriad on Vimeo.

Sumber MirriAd


TIPS & ULASAN