Cari @ Amanz

Sejak sebulan dua ini, nama pengeluar telefon daripada China, Xiaomi telah menjadi bualan ramai pengguna sosial di Malaysia. Perkara ini adalah disebabkan tawaran peranti daripada mereka pada harga rendah jikalau dibandingkan dengan spesifikasi yang ditawarkan, dan juga oleh kerana bentuk penawaran mereka yang berbeza dengan beberapa pengeluar lain di pasaran.

Sehingga kini, mereka telah menjual Xiaomi Mi3 – telefon berspesifikasi tinggi, dan juga Mi Powerbank untuk pasaran tempatan. Bermula hari ini juga, mereka turut menambah satu lagi peranti yang ditawarkan untuk pasaran tempatan, iaitu Xiaomi Redmi 1S.

Xiaomi Redmi 1S

Xiaomi Redmi 1S dilihat ditawarkan kepada mereka yang baru ingin menggunakan telefon pintar, mereka yang berusia, dan juga mereka yang ingin mendapatkan dan mencuba MIUI pada harga lebih rendah berbanding dengan Xiaomi Mi3. Telefon pintar Xiaomi Redmi 1S ini membawakan tanda harga sebanyak RM419 untuk pasaran tempatan.

Binaan dan Rekaan

Xiaomi Redmi 1S
Pemproses 1.6Ghz Snapdragon 400
RAM 1GB
Muatan Dalaman 8 GB + MikroSD
Kamera Utama 8-megapixel
Kamera Depan 1.3-megapixel
Skrin 4.7-inci IPS LCD
Bateri 2000 mAh

Seperti kebanyakkan peranti berspesifikasi asas di pasaran, Xiaomi Redmi 1S turut membawakan binaan berasaskan plastik, dan boleh dikatakan ia sedikit berat jikalau dibandingkan dengan telefon pintar Mi3. Saiz skrin 4.7-inci boleh dikatakan agak selesa untuk dipegang, dan mungkin serasi dengan saiz tangan kebanyakkan pengguna di Malaysia.

Telefon pintar ini trut membawakan bahagian kerangka belakang yang boleh ditanggalkan, dan pengguna boleh menggunakan dwi-SIM pada telefon pintar ini. Memandangkan ruangan storan yang ditawarkan adalah terhad, maka pengguna yang inginkan saiz yang lebih besar boleh menggunakan kad mikro-SD dan memperluaskan ruangan storan peranti mereka.

Walaupun boleh dikatakan berspesifikasi asas, telefon pintar ini turut membawakan sokongan kamera hadapan untuk membolehkan pengguna merakamkan gambar selfie, membuat panggilan video dan sebagainya. Kamera belakang 8-megapixel turut disertakan untuk rakaman gambar yang lebih berkualiti menggunakannya.

[amanz-gallery]

Penambahan Perisian

Xiaomi Redmi 1S membawakan penggunaan MIUI sama seperti Mi3, tetapi dengan beberapa penambahan baru. Fungsi seperti untuk mengawal penggunaan data, mengawal aplikasi yang mengakses data, dan beberapa yang lain turut disertakan pada peranti ini.

Khusus untuk peranti ini, pihak Xiaomi turut menyertakan sokongan pengawalan penggunaan kad-SIM. Perkara ini adalah memandangkan Redmi 1S membawakan sokongan dwi-SIM.

Xiaomi Redmi 1S

Xiaomi Redmi 1S

Disamping itu, untuk memudahkan pengguna berusia, ataupun mereka yang pertama kali menggunakan peranti ini untuk mengadaptasi kepada fungsi-fungsi dengan mudah, pihak Xiaomi turut menyediakan sebuah mod khas, dinamakan sebagai “Mod Ringkas”.

Menggunakannya, ia mengubah semua saiz paparan kepada saiz lebih besar – daripada saiz ikon, grafik sehinggalah saiz tulisan. Fungsi seperti ini boleh dikatakan bukan sesuatu yang baru, dimana beberapa pengeluar turut menawarkannya dengan memanggilnya seperti Easy Mode, Simple Mode dan sebagainya.

Penutup

Daripada pengalaman pertama kami menggunakan peranti ini, ia boleh dikatakan berfungsi dengan lancar tanpa sebarang lengah masa. Antaramuka MIUI juga merupakan antara antaramuka yang amat kemas dan mudah untuk digunakan – apatah lagi memandangkan ia ditawarkan dalam pilihan bahasa Malaysia.

Harga murah yang ditawarkan mungkin boleh dikatakan akan menjadi salah satu tarikan utama, namun unit tawaran yang terhad adalah salah satu kekangan untuk ramai pengguna mendapatkannya. Kamera belakang juga boleh dikatakan menawarkan rakaman pada kualiti sederhana – salah satu perkara yang mungkin biasa untuk peranti pada spesifikasi ini.

Apa pun, kami akan membawakan ulasan penuh untuk telefon pintar ini dalam beberapa minggu lagi, dan mungkin kita akan mengetahui lebih lanjut mengenai prestasi telefon pintar ini secara menyeluruh selepas menggunakannya kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd