Surface Pro 3 merupakan tablet-komputer terbaru daripada pihak Microsoft yang mana telah diperkenalkan pada bulan Mei lepas, dan bakal dijual di Malaysia bermula penghujung Ogos kelak.
Bercakap mengenai Surface Pro 3, salah satu kelebihan berbanding kebanyakkan tablet-komputer lain adalah dimana ia menjalankan sistem operasi Windows 8.1 sepenuhnya, membolehkan pengguna memasang pelbagai jenis perisian tanpa masalah. Beberapa rakan kerjasama turut hadir dengan perisian yang dioptimasikan untuk Surface Pro 3, dan salah satunya adalah Adobe.
Rekaan Dan Binaan
Surface Pro 3 | |
---|---|
Cip Pemprosesan | Intel Core Gen-4 |
Memori | 4GB atau 8GB RAM |
Storan | 64GB-512GB + mikroSD |
Kamera | 5-megapixel |
Skrin | 12-inci Multi-Touch |
Resolusi | 2K (2160×1440) |
Sistem | Windows 8.1 Pro |
Surface Pro 3 membawakan saiz sedikit besar berbanding versi sebelum ini. Kini ia bersaiz sekitar 12-inci, dan menariknya Surface Pro 3 turut hadir dengan skrin sentuh multi-touch pada resolusi 2K (2160×1440 pixel). Rekaan Surface Pro 3 ini dikatakan ingin memudahkan pengguna memegangnya, selain membawakan saiz seumpama kertas fizikal – membuatkan pihak Microsoft hadir dengan saiz nisbah 3:2 untuknya.
Tablet-Komputer ini membawakan binaan berasaskan magnesium, dan hadir dalam warna perak. Binaannya kukuh seperti versi sebelum ini, disamping pihak Microsoft turut menekankan yang mana ia lebih nipis dan juga ringan berbanding kebanyakkan komputer riba di pasaran – termasuk MacBook Air.
Dari segi spesifikasi, Surface Pro 3 menggunakan cip pemprosesan Intel Core generasi ke-4, dan hadir dalam pilihan Core i3, Core i5 dan Core i7. Penggunaannya menawarkan kelebihan dari beberapa segi, termasuk dari segi penawaran grafik, dan juga masa penggunaan bateri yang lama. Untuk penggunaan memori pula, ia hadir dalam pilihan 4GB RAM atau 8GB RAM, sementara untuk storan ia hadir dalam pilihan bermula 64GB sehingga 512GB.
Sekiranya ruangan storan yang disertakan secara terbina tidak memadai, pihak Microsoft turut menyediakan ruangan kad mikro-SD, membolehkan pengguna menggunakannya untuk menambah ruangan storan pada Surface Pro 3.
[amanz-gallery]
Disamping itu, bahagian pengecas bateri juga menerima kemaskini berbanding dengan versi sebelum ini – dengan membawakan sambungan pengecasan baru. Fungsi pengecas tambahan berasaskan USB pada adapter masih dikekalkan pada pengecas baru ini.
Surface Pro 3 turut membawakan kamera hadapan dan belakang yang sesuai untuk tujuan rakaman gambar, panggilan video Skype dan beberapa yang lain. Bahagian audio juga turut ditambah baik dengan sokongan speaker stereo dan juga dwi-mikrofon pada bahagian hadapan dan belakang berdekatan dengan kamera.
Beberapa port lain yang turut disertakan pada Surface Pro 3 adalah termasuk sokongan USB 3.0, dan juga Mini DisplayPort.
Kickstand Boleh Laras
Kickstand dengan rekaan mesra untuk digunakan atas peha
Bercakap mengenai Surface Pro 3, salah satu pembaharuan yang dibawakan padanya adalah kebolehan untuk melaraskan Kickstand pada pelbagai tahap.
Kickstand merupakan sebuah bahagian tambahan pada belakang Surface Pro 3, membolehkan pengguna membukanya dan mendirikan Surface Pro 3. Jikalau sebelum ini ia hanya terhad untuk cara melaraskannya, kini melalui Surface Pro 3, ia membawakan pelarasan untuk pelbagai tahap, sekaligus memudahkan pengguna untuk menyesuaikannya untuk beberapa keadaan.
Kickstand ini juga membolehkan pengguna untuk menggunakan Surface Pro 3 di riba ketika duduk di kerusi tanpa masalah, disamping turut melaraskan Surface Pro 3 untuk melukis, menaip dan sebagainya.
Surface Pen
Selain daripada Kickstand, satu lagi perkara yang menjadi fokus utama pada Surface Pro 3 adalah sokongan Surface Pen.
Surface Pen dijana menggunakan N-trig, dimana ia memberikan pengalaman penulisan, dan lakaran yang lebih neutral berbanding kebanyakkan pena digital atau stylus yang lain. Microsoft mengatakan ia hadir dengan lebih 256 tahap sensitiviti untuk tekanan ketika digunakan dalam usaha memberikan pengalaman penggunaan seperti pena biasa.
Surface Pen ini juga turut hadir dengan beberapa butang untuk akses pantas. Salah satunya adalah butang pada bahagian atas Surface Pen, dimana apabila ia ditekan ia akan membuka OneNote secara automatik – walaupun skrin dalam keadaan tutup. Butang kawalan turut disertakan pada bahagian tepi untuk memudahkan pengguna memadam, ataupun memilih teks atau lakaran dan mengalihkannya.
Aksesori Tambahan
Harga Surface Pro 3 | |
---|---|
i3, 64GB, 4GB RAM | RM2729 |
i5, 128GB, 4GB RAM | RM3299 |
i5, 256GB, 8GB RAM | RM4199 |
i7, 256GB, 8GB RAM | RM4999 |
i7, 512GB, 8GB RAM | RM6779 |
Type Cover | RM409 |
Ethernet Adapter | RM159 |
Melengkapkan Surface Pro 3 adalah beberapa aksesori khusus untuknya. Salah satu yang utama adalah Type Cover yang mana merupakan salah satu papan kekunci mekanikal yang nipis, dan hadir dengan sokongan backlit. Ia dihubungkan melalui sokongan magnetik sama seperti versi sebelum ini.
Selain Type Cover, pihak Microsoft turut menawarkan beberapa aksesori lain, termasuk antaranya adalah Surface Ethernet Adapter (untuk menghubungkan talian internet berwayar), dan juga Docking Station (untuk menghubungkan Surface Pro 3 ke monitor dan menggunakan sebagai desktop.
Penutup
Bagi kami yang sedia menggunakan Surface Pro, pengenalan Surface Pro 3 ini semestinya salah satu perkara yang dinantikan. Masa penggunaan bateri yang lebih lama, disamping saiz skrin yang lebih besar mungkin akan menjadikannya menjadi salah satu pilihan ramai dalam menggantikan komputer riba pada era perkomputeran kini.
Di Malaysia, Surface Pro 3 akan dijual bermula penghujung Ogos kelak, dimana ia hadir dalam variasi Intel Core i3 sehingga Intel Core i7, pada harga bermula RM2729 sehingga RM6779. Perkara ini membolehkan pengguna membuat pemilihan bersesuaian dengan tugasan dan penggunaan mereka kelak.
Seperti biasa, kami akan membawakan ulasan penuh untuk Surface Pro 3 ini sebaik sahaja ia dilancarkan di Malaysia kelak, dan mungkin kita akan dapat melihat lebih banyak info termasuk berkaitan dengan prestasi dan penggunaannya.