Cari @ Amanz

Memantau pergerakan penghantaran bungkusan (parcel) adakalanya menjadi sedikit sukar lebih-lebih lagi sekiranya anda mempunyai perniagaan online yang mempunyai bilangan tracking number dalam bentuk pukal. Selain bilangan tracking number, masalah perbezaan khidmat kurier turut menyukarkan anda memantau parcel dan menyebabkan anda perlu mengakses laman perkhidmatan pos yang berbeza secara berulang kali. Melihat daripada masalah ini, ia memberikan idea kepada pembangun dalam menampilkan solusi khas untuknya melalui Trackback.MY.

TrackbackMY-5

Trackback.MY adalah satu perkhidmatan multi-courier tracker daripada pembangun tempatan yang menyediakan kemudahan dalam mengurus dan memantau pergerakan parcel. Ia menawarkan fungsi tracking daripada perkhidmatan kurier utama di Malaysia dan hadir dengan status pergerakan parcel dalam masa-nyata.

Menggunakannya, anda perlu mempunyai satu akaun khas yang boleh didaftar secara percuma. Apabila urasan pendaftaran selesai, anda hanya perlu ke halaman ‘Track’ dan klik pada ‘Add new parcel’. Selepas itu anda diminta untuk memasukkan nama bagi parcel anda, perkhidmatan kurier yang digunakan, dan akhir sekali masukkan tracking number bagi parcel tersebut.

TrackbackMY-6

Sehingga saat ini, Trackback menyokong sejumlah besar perkhidmatan utama seperti PosLaju, GDExpress, City-Link Express, Ta-q-bin, dan SkyNet. Beberapa perkhidmatan lain turut disokong seperti ABX Express Malaysia, Kangaroo Malaysia, Nationwide Express, PosDaftar, Airpak Express, dan DHL Express.

Menariknya, Trackback hadir dengan kawalan privasi seperti menetapkan URL untuk parcel tracking kepada ‘public’ bagi membolehkan orang awam melihat status parcel tersebut tanpa perlu log masuk. Perkara ini sedikit sebanyak memberi peluang kepada peniaga online untuk memberikan link Trackback ini bagi menggantikan pemberian tracking number yang kurang inovatif. Apabila link ini dibuka, segala maklumat dan status penghantaran parcel dipaparkan dalam satu bentuk mudah dan teratur.

TrackbackMY-3

Apa yang kami sukakan mengenai Trackback adalah status tracking yang dihantar terus melalui e-mail. Ini agak memudahkan terutamanya bagi pengguna yang mengaktifkan perkhidmatan push-email pada telefon pintar. Apabila sesuatu parcel tiba di sesuatu destinasi, satu notifikasi dihantar secara masa-nyata sekiranya fungsi push-email ini diaktifkan. Namun, bagi pengguna yang tidak berminat untuk menerima notifikasi melalui e-mail, tetapan notifikasi boleh dinyah-aktifkan pada halaman Settings pengguna.

TrackbackMY-4

Trackback dibangunkan oleh sebuah pasukan kecil yang terdiri daripada 3 orang pelajar sekolah SMK Bandar Rinching, Semenyih diketuai oleh Akif Rabbani. Beliau turut berkongsi mengenai pembangunan Trackback.MY yang mana ia mula dibina sejak daripada awal Januari lalu. Sebelum ini, ketua pembangun web ini lebih dikenali dalam membangunkan Pikapika.MY, salah satu laman artificial intelligent conversation yang berfungsi seperti Simsimi.

TrackbackMY-2

Apabila ditanya mengenai mengapa Trackback dibina, mereka ingin memudahkan pengurusan tracking number dibuat dan mengelakkan daripada mengakses laman web perkhidmatan kurier dan memasukkan tracking number berulang-kali. Mereka turut berkongsi yang mana mereka enggan untuk menggunakan perkhidmatan multi-courier tracker berbayar dan disebabkan itu, Trackback.MY ditawarkan secara percuma kepada orang ramai.

Bagi kami, Trackback memudahkan individu terutamanya yang mempunyai perniagaan online seperti online shop untuk memantau pergerakan parcel pelanggan dan juga barangan tempahan. Ia disatukan dalam satu bentuk paparan mudah dan membolehkan anda melihat status parcel tersebut yang dikemaskini dalam masa-nyata. Ia satu perkhidmatan yang perlu digunakan oleh pengguna dalam memudahkan pengurusan dan melihat pergerakan parcel daripada khidmat kurier yang berbeza.

Bagi yang berminat, anda boleh berkunjung ke halaman Trackback.MY dan seterusnya mengurus dan mulakan pemantauan parcel anda dalam bentuk halaman mudah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd