Cari @ Amanz

Microsoft hari ini telah berkongsi beberapa pengumuman mengenai bahagian peranti mereka, dan salah satu yang diumumkan mereka adalah dimana mereka ingin menghentikan pengeluaran peranti berasaskan Android, sebaliknya menawarkan peranti berasaskan Windows Phone untuk tawaran telefon berspesifikasi rendah mereka.

Melalui pengumuman Microsoft, mereka ingin melakukan perubahan ini serta-merta, dimana mereka akan menggunakan rekaan dan pelbagai perancangan Nokia X (Android) kepada peranti Windows Phone berspesifikasi rendah. Apa pun, Microsoft mengatakan mereka akan terus menjual dan menyokong peranti-peranti Nokia X sedia ada.

Pengumuman ini hadir selang beberapa minggu selepas pihak Microsoft mengumumkan Nokia X2. Apa pun, dengan penstrukturan semula pihak Microsoft, ia mungkin sesuatu yang telah dijangka ramai, sekaligus memudahkan lagi pihak Microsoft untuk terus memfokuskan kepada platform operasi mereka.

Nokia X

Bagi kami sendiri, mungkin langkah ini lebih bersesuaian dengan pihak Microsoft, memandangkan Nokia X dimulakan dalam menawarkan peranti pintar pada harga rendah. Namun, daripada penawaran mereka akhir-akhir ini, harga peranti Lumia lebih rendah berbanding dengan Nokia X, selain mana platform Android yang digunakan pada Nokia X tidak digemari ramai – memandangkan telah dibuang perkhidmatan Google, disamping mempunyai lengah masa yang agak tinggi berbanding beberapa peranti lain. Mungkin dengan penawaran peranti dari China pada harga rendah, pihak Microsoft melalui Nokia boleh mengekalkan keunikkan mereka dengan menawarkan peranti berspesifikasi rendah menjalankan sistem operasi Windows Phone.

Selain perubahan pada peranti Nokia X, pihak Microsoft juga turut akan menamatkan pembangunan dan pelaburan pada platform Asha dan juga Series 40. Sokongan untuknya dijangka akan ditamatkan dalam tempoh lebih kurang 18 bulan lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd