Cip | Snapdragon 801 2.5GHz |
Memori | 3GB RAM |
Storan | 16GB/64GB |
Kamera | 13-megapixel |
Skrin | 5.5-inci (401PPI) |
Bateri | 3100mAh |
Sistem | CyanogenMod 11s |
Pada tahun ini, kita sedia melihat beberapa jenama pengeluar telefon dari China yang memperluaskan tawaran mereka di peringkat global. Antaranya adalah Xiaomi, Vivo, Oppo, Huawei, dan sebagainya. Perkara ini juga turut membuka kepada kehadiran beberapa syarikat baru dari China, dan salah satu yang hangat diperkatakan adalah syarikat OnePlus.
OnePlus menggunakan falsafah “Never Settle“, dan menawarkan telefon pintar mereka yang dinamakan “One” pada harga yang amat rendah – jikalau dibandingkan dengan spesifikasi yang ditawarkan oleh peranti tersebut. Apa pun, salah satu perkara yang membuatkan ramai tidak boleh mendapatkannya adalah disebabkan oleh pengeluaran model tersebut yang masih terhad buat masa ini.
Model OnePlus One hadir dalam beberapa variasi, dimana model yang diminati ramai adalah versi yang menggunakan CyanogenMod 11s. Terdapat beberapa versi lain yang turut dijual, termasuk yang dibawa masuk ke pasaran Malaysia oleh beberapa penjual yang mengguna pakai sistem operasi ColorOS berasaskan Android. Untuk mengetahui sama ada model tersebut adalah versi Cyanogen ataupun sebaliknya, pengguna boleh melihat pada kerangka belakang, dimana pada bahagian bawah ada logo Cyanogen. Apa pun, pengguna yang menggunakan ColorOS turut boleh menggantikan sistem operasi mereka kepada Cyanogen, dan menikmati beberapa kelebihan yang dibawakan olehnya.
Penawaran peranti mereka secara terhad juga turut memberikan serba-sebanyak efek terhadap pemasaran mereka, dimana ramai yang menantikan pelancarannya terpaksa beralih kepada jenama lain disebabkan ia tidak boleh didapati dengan meluas.
[amanz-gallery]
Rekabentuk
OnePlus One merupakan telefon pintar pertama daripada mereka, dan merupakan satu-satunya peranti yang ditawarkan oleh syarikat tersebut buat masa ini. One membawakan rekaan yang lebih kurang menyerupai Oppo Find 7, tetapi berbeza dari beberapa aspek.
Kedudukan pelbagai butang, dan juga kamera hadapan adalah berbeza dengan Oppo Find 7, sekaligus membuatkan aksesori untuk Oppo Find 7 tidak boleh digunakan pada peranti ini – walaupun membawakan rekaan peranti yang sama.
Peranti ini membawakan skrin bersaiz 5.5-inci dengan paparan 1080p. Dari segi skrin, boleh dikatakan ia membawakan paparan yang amat jelas dan terang berbanding beberapa peranti yang lain.
Untuk kerangka belakang, ia hadir dalam dua warna iaitu hitam dan juga putih. Pengguna juga boleh mendapatkan kerangka pada warna berlainan dan mengubahnya mengikut citarasa.
Versi yang kami cuba ini adalah versi berwarna putih, dan hadir dengan kerangka belakang berasaskan plastik, tetapi memberikan pengalaman pegang yang baik dan premium. Tiada kesan cap jari yang melekat padanya, dan ia juga tidak mudah tergelincir daripada tangan.
Pada bahagian atas ia membawakan ruangan audio jack, sementara pada bahagian bawah adalah speaker dan juga ruangan pengecasan berasaskan mikro-USB. Memandangkan kami mencuba telefon milik @cruzzmz ini di ruangan terbuka, maka kami tidak mendapat peluang untuk mencuba output bunyi pada peranti ini.
Butang kuasa pula diletakkan pada bahagian kanan peranti, sebaliknya pada bahagian kiri adalah butang kawalan kuasa dan juga ruangan untuk SIM.
Dari segi spesifikasi pula, telefon pintar OnePlus One ini menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 801, memori sebanyak 3GB RAM, serta kamera belakang 13-megapixel. Menggunakannya, tiada sebarang lengah-masa yang dirasai, apatah lagi dengan CyanogenMod 11s yang dioptimasikan khusus untuknya.
CyanogenMod 11s
Memandangkan OnePlus One hadir dengan CyanogenMod 11s yang dioptimasikan khusus untuknya, ia hadir dengan beberapa ciri-ciri khas untuknya.
Kami sendiri gemarkan CyanogenMod, salah satu sebabnya adalah kerana ia membawakan elemen rekaan asal Android, disamping beberapa ciri-ciri tambahan untuknya.
Pada peranti OnePlus One ini, ia turut hadir dengan sokongan gesture lebih kurang pada Oppo Find 7, dimana pengguna boleh melukis beberapa perkara ketika skrin dikunci, dan ia akan mengaktifkan terus ke aplikasi yang ditetapkan.
Bahagian kamera pula membawakan sokongan rakaman gambar yang lebih kurang seperti kebanyakkan peranti lain – termasuk hadir dengan sokongan rakaman video dalam 4K. Sokongan kawalan manual juga turut disertakan bagi mereka yang inginkannya.
Pihak CyanogenMod turut melengkapkan versi platform ini dengan sokongan tema, dimana pengguna boleh memuat-turun pelbagai jenis tema yang dibangunkan oleh komuniti – dimana selain pengguna boleh memilih tema yang dikehendaki, mereka juga boleh memilih beberapa perkara khusus seperti ikon, skrin boot, gambar latar dan sebagainya.
Apa pun, bercakap mengenai CyanogenMod 11s ini pada OnePlus One ini, salah satu perkara yang amat diminati kami adalah kebolehan untuk mengubah butang kawalan, sama ada inginkannya diatas skrin ataupun diatas peranti. Perkara ini memudahkan pengguna membuat tetapan mengikut kegemaran mereka – salah satu perkara yang tidak ditawarkan oleh peranti lain di pasaran hari ini. Namun, ia seperti tidak direka untuk diubah ikut sesuka-hati, dimana kami mendapati gambar latar sedikit “lari” apabila butang kawalan ini diubah dari skrin ke peranti dan juga sebaliknya.
Penawaran Melalui Sistem Jemputan?
OnePlus One masih terhad buat masa ini, dimana versi yang hadir dengan CyanogenMod 11s ditawarkan melalui sistem jemputan mereka. Perkara ini mungkin membuatkan mereka sukar memberikan persaingan sengit di pasaran terbuka hari ini. Disamping itu, mungkin ramai pengguna yang tidak begitu arif untuk mengubah peranti berasaskan ColorOS kepada versi CyanogenMod 11s, dan inginkan versi asal yang menjalankan CM11s.
Jikalau dibandingkan dari segi harga, boleh dikatakan ia agak kompetitif berbanding kebanyakkan peranti lain di pasaran. Versi 16GB untuk peranti ini ditawarkan pada harga $299 (~RM952), sementara versi 64GB pada harga $349 (~RM1111). Semestinya apabila ia dibawa masuk secara tidak rasmi oleh penjual, mereka akan menambah sedikit keuntungan dan menjualnnya pada harga sedikit tinggi.
Melalui beberapa nama negara pelancaran yang pernah dikongsikan oleh pihak OnePlus sebelum ini, nama Malaysia masih belum tersenarai – buat masa ini.
Daripada percubaan kami dengan peranti ini selama beberapa jam, boleh dikatakan OnePlus One membawakan prestasi dan penggunaan yang amat baik – apatah lagi dengan harga tawaran dan sokongan komuniti melalui CyanogenMod.
Buat masa ini, kami tiada sebarang perancangan untuk membuat ulasan penuh untuknya – memandangkan ia tidak akan memasuki pasaran Malaysia secara rasminya. Apa pun, bagi anda yang ingin mendapatkannya, mungkin boleh teruskan dan mencuba sendiri pengalaman penggunaan CyanogenMod pada peranti khusus untuknya, dan OnePlus One sendiri yang hadir dengan rekaan yang amat cantik dan kemas.