Dengan pelbagai rekaan konsep untuk laman Wikipedia, kini, pasukan pembangun Wikimedia sendiri memperlihatkan rekaan prototaip untuk paparan antaramuka terbaru bagi laman Wikipedia. Sekali imbas, prototaip ini menggunakan paparan seakan-akan Holo yang popular di Android, selain mana turut hadir dengan sokongan paparan responsif dan adaptif – sesuai untuk digunakan pada pelbagai saiz skrin tanpa masalah.
Paparan baru ini dijangka akan dibincangkan di Wikimania yang bakal berlangsung di London pada 6 hingga 10 Ogos 2014 ini. Wikimania merupakan persidangan rasmi oleh Wikimedia Foundation yang mana akan membincangkan pelbagai perkara berkaitan dengan Wikipedia.
Seperti semua sedia maklum, Wikipedia merupakan salah satu laman yang dikunjungi ramai dalam usaha mendapatkan maklumat berkaitan sesuatu perkara – dan beroperasi sebagai ensiklopedia terbesar dalam arena internet ini.
Jika anda merupakan pengunjung tegar Wikipedia, adalah sangat digalakkan supaya anda menghulurkan sumbangan kepada Wikipedia supaya laman sumber pengetahuan yang luas ini mampu untuk menampung minat anda terhadap informasi dan ilmu pengetahuan selama-lamanya.