Dengan pelbagai pengeluar hadir dengan skrin resolusi tinggi, pihak Apple dilihat tidak ingin ketinggalan. Menurut laporan terbaru, pihak Apple dikatakan akan hadir dengan komputer OS X mereka dengan paparan 4K, selain turut hadir dengan komputer riba dengan paparan resolusi tinggi – Retina.
Komputer OS X daripada Apple, iMac sedia digunakan ramai dalam membuat tugasan grafik dan multimedia. Jadi, dengan paparan 4K yang diperkatakan ramai, ia tidak mustahil untuk Apple memperkenalkan skrin dengan paparan yang menyokongnya, selain membawakan kemaskini spesifikasi untuknya.
Disamping itu, desas-desus berkenaan MacBook Retina bukanlah sesuatu yang baru. Memandangkan terdapat pelbagai komputer riba dengan skrin 2K hari ini – termasuk Surface Pro 3, pihak Apple dilihat mungkin memperkenalkan kemaskini untuk komputer riba mereka dengan skrin bersaiz sekitar 12-inci.
Kedua-dua hardware baru ini dijangka akan diperkenalkan pada awal suku-tahun ke-4 kelak – berkemungkinan selari dengan pelancaran OS X Yosemite kepada umum.