Cari @ Amanz

Pelbagai desas-desus berkaitan keluarga Nexus telah kedengaran sebelum ini, dan baru-baru ini pihak Google telah mengesahkan yang mana program Nexus akan diteruskan seperti biasa. Dengan Android “L” yang menjelang tiba, semestinya ramai yang sedang nantikan apakah peranti yang bakal diumumkan Google bersama-sama rakan kerjasama mereka.

Motorola Moto G

Sebelum ini, kita telah mendengar ura-ura yang mana HTC bakal hadir dengan sebuah tablet Nexus yang dipanggil dengan nama kod “Volantis”. Selain tablet, seperti biasa pihak Google dilihat mempunyai perancangan untuk telefon pintar Nexus yang turut akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Mengikut laporan awal, Google dan Motorola sedang dalam persiapan membangunkan peranti bersaiz 5.9-inci. Apa yang menariknya, peranti ini dikatakan akan menyertakan sokongan pengimbas cap jari. Sekiranya ia benar, maka mungkin pihak Google akan membuka API untuk pengimbas cap jari melaluinya, sekaligus membolehkan pelbagai aplikasi menggunakannya. Telefon pintar ini dikenali dengan nama kod “Shamu” buat masa ini.

Peranti ini dikatakan dirancang untuk pelancaran sekitar bulan November kelak. Apa pun, seperti biasa, ini hanya sekadar desas-desus awal sahaja – dan sekiranya ia benar, mungkin kita akan mendengar lebih lanjut mengenainya tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd