Bahaya memandu sambil menaip kini adalah seberbahaya memandu dalam keadaan mabuk. Sudah berlaku beberapa kes kematian akibat menggunakan telefon pintar ketika memandu. Hanya beberapa bulan yang lalu seorang wanita meninggal dunia beberapa saat selepas memuat naik selfie di Facebook. Di Malaysia pula kerap kali kami melihat pemandu kereta dan penunggang motosikal menggunakan telefon mereka dalam keadaan berbahaya. Di United Kingdom pihak polis kini diberikan kuasa untuk merampas telefon individu yang terlibat dalam kemalangan jalan raya. Ini adalah usaha mereka untuk melihat sama ada pemandu bersalah menggunakan telefon ketika memandu sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku. Sebelum ini pihak polis UK hanya dibenarkan merampas telefon sekiranya berlaku kemalangan melibatkan kematian ataupun kecederaan kritikal.
Prosedur baru ini diharap dapat mengurangkan kes kemalangan akibat memandu sambil menggunakan telefon yang meragut lebih 500 nyawa setiap tahun di United Kingdom. Reaksi orang ramai adalah bercampur baur. Ada yang bersetuju kerana merasakan tindakan merampas telefon sepatutnya sudah lama dilakukan bagi melihat siapa yang bersalah. Terdapat juga mereka yang tidak bersetuju kerana menganggap tindakan merampas adalah terlalu keras hukumannya sekiranya berlaku kemalangan kecil. Nilai telefon pintar yang dirampas mungkin lebih tinggi dari kerosakan akibat kemalangan tersebut.
Sekiranya pihak Polis Diraja Malaysia bercadang melakukan perkara yang serupa, adakah anda akan bersetuju? Kami bersetuju telefon dirampas kerana memandu sambil menggunakan telefon ialah berbahaya. Ianya juga dapat mengurangkan kebarangkalian video pemandu mengamuk selepas kereta dilanggar menjadi viral sehingga membuatkan mereka menjadi terkenal dan muncul di radio tempatan untuk mempromosikan lagi kebebalan mereka.
Sumber The Independent