Baru-baru ini, beberapa artikel hadir di arena web mengatakan data pengguna dimuat-naik oleh pihak Xiaomi ke pelayan mereka di China. Bercakap mengenainya, kini Hugo Barra berkongsi beberapa info berkenaan dengannya.
Menurut Hugo Barra, MIUI (sistem operasi yang digunakan pada peranti Xiaomi) tidak memuat-naik sebarang gambar dan mesej secara rahsia ke pelayan web mereka. Sebaliknya, MIUI sering menarik data dari pelayan Xiaomi dari masa ke semasa – terutamanya berkaitan dengan kemaskini OTA, dan beberapa data awam ke peranti seperti ucapan dan sebagainya.
Selain daripada itu, sekiranya pengguna mengaktifkan sokongan Mi Cloud, maka pelbagai data akan diuruskan dan salinan pendua akan disimpan di awan – yang mana termasuk SMS, senarai buku alamat, gambar dan sebagainya. Ia berfungsi lebih kurang menyerupai iCloud, ataupun beberapa perkhidmatan storan awan yang lain.
Bagi pengguna yang tidak menyukainya, boleh mematikan sokongan Mi Cloud dengan ke halaman Settings > Mi Cloud.
Hugo Barra turut menekankan yang mana Xiaomi amat serius tentang perkara berkaitan dengan privasi, dan tidak menyimpang atau memuat-naik sebarang data ke pelayan mereka tanpa kebenaran daripada pengguna.