Peminat Perlawanan Gusti? Perkhidmatan Penstriman WWE Network Mungkin Diperkenalkan Untuk Malaysia

Peminat Perlawanan Gusti? Perkhidmatan Penstriman WWE Network Mungkin Diperkenalkan Untuk Malaysia

Diterbitkan pada Ogos 1, 2014 oleh .

Bagi peminat perlawanan gusti, nama seperti Stone Cold, The Rock, Undertaker, John Cena dan sebagainya mungkin bukan sesuatu yang asing lagi. Jenama disebaliknya, WWE telah hadir dengan perkhidmatan penstriman mereka pada awal tahun ini yang khusus untuk pengguna di Amerika Syarikat, dan hari ini pihak WWE berkongsi perancangan untuk memperluaskan perkhidmatan tersebut.

Perkhidmatan yang dinamakan sebagai WWE Network tersebut menawarkan sokongan penstriman kandungan berbentuk perlawanan gusti dan yang berkaitan dengannya 24 jam sehari. Untuk tujuan tersebut, beberapa aplikasi ditawarkan, termasuk untuk PlayStation, AppleTV, Xbox, iOS, Android dan juga turut ditawarkan melalui web.

Melaluinya, selain kandungan harian, pengguna turut boleh menikmati acara khusus seperti WrestleMania, disamping turut mendapatkan kandungan lama yang anda terlepas pada bayaran tambahan. Dari segi bayaran, ia dilihat WWE Network mengenakan caj sebanyak $20 untuk sebulan, ataupun pada kadar diskaun sebanyak $60 untuk enam bulan.

Melalui kenyataan kewangan yang diumumkan WWE hari ini, mereka mengatakan mereka merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan WWE Network di beberapa buah negara – termasuk Malaysia.

Buat masa ini, tiada sebarang tarikh diberikan, dan pihak WWE mengatakan mereka perlu berbincang dulu dengan beberapa pihak termasuk pemilik kebenaran tayangan program WWE di rantau ini sebelum ia dapat dilaksanakan.

Jadi, mungkinkah WWE Network akan diperkenalkan di Malaysia. Sekiranya ya, adakah ia akan mempunyai permintaan daripada pengguna tempatan?


TIPS & ULASAN