(Konsep) Teknologi Hampagas Dyson Digunakan Untuk Membersihkan Sungai

(Konsep) Teknologi Hampagas Dyson Digunakan Untuk Membersihkan Sungai

Diterbitkan pada Ogos 4, 2014 oleh .

Pembersih hampagas Dyson terkenal dengan sistem putaran puting beliungnya yang mampu menyedut dengan lebih berkuasa dari pembersih hampagas konvensional. Sejak diperkenal pada tahun 1993, sebanyak 20 juta unit vakum Dyson terjual walaupun ianya dijual pada harga yang lebih mahal. Teknologi putaran puting beliung ini sentiasa diperbaiki dan tahun ini kami ada memaparkan pelancaran Dyson Cinetik di Malaysia yang mempunyai motor elektrik digital.

James Dyson, pereka dan pemilik vakum Dyson nampaknya mempunyai perancangan mengembangkan penggunaan vakum ciptaan beliau. Ianya kini tidak lagi terhad untuk membersihkan lantai rumah tetapi bakal digunakan untuk membersihkan sungai. Kapal M V Recyclone akan bergerak di atas permukaan sungai dan mengumpul sampah sarap pejal yang mencemarinya. Sistem vakum puting beliung gergasi akan dibina bagi memisahkan sampah pejal dari cecair. Kapal vakum ini juga dilengkapi sistem penghancur terbina yang kemudian memindahkan sampah yang terkumpul ke dalam lori di tebing sungai.

Buat masa ini M V Recyclone masih lagi sebuah konsep kerana Dyson masih cuba mencipta sistem vakum dan penyaring yang sesuai digunakan pada skala industri. Selain digunakan untuk membersihkan sungai, kapal ini juga boleh digunakan bagi membersihkan tompokan sampah gergasi Pasifik. Tompokan sampah gergasi pasifik yang ditemui pada tahun 1988 mempunyai keluasan dua kali ganda Amerika Syarikat dan mengumpulkan sampah yang terperangkap di dalam arus laut dari seluruh dunia.

Dysin-Recyclone-1

 

Sumber FastCo


TIPS & ULASAN