Uber hari ini telah memperkenalkan perkhidmatan UberX di Kuala Lumpur, dan pada masa yang sama berkongsi perancangan mereka untuk memperluaskan perkhidmatan tersebut ke beberapa bandar lain di Malaysia.
Daripada apa yang dikongsikan, lokasi seterusnya yang bakal menerima sokongan perkhidmatan Uber adalah Pulau Pinang. Namun, tarikh dan jangka masa untuk pengenalan perkhidmatan tersebut di negeri tersebut tidak dikongsikan buat masa ini.
Bagi yang tidak mengenali perkhidmatan Uber, ia merupakan sebuah aplikasi yang menghubungkan para pengguna dengan pemandu peribadi – sekaligus menjanjikan pengalaman ke sesuatu lokasi yang lebih baik berbanding penggunaan teksi biasa.
Buat masa ini, Uber hanya ditawarkan di beberapa lokasi utama sekitar Kuala Lumpur, dan pihak Uber dilihat memfokuskan kepada memperluaskan perkhidmatan mereka, disamping menawarkan pelbagai pilihan lain – termasuk UberX yang diperkenalkan hari ini.