Ulasan Huawei Ascend P7

Ulasan Huawei Ascend P7

Diterbitkan pada Ogos 11, 2014 oleh .

Huawei, Xiaomi dan Oppo ialah tiga jenama dari tanah besar China yang semakin hari semakin agresif memasarkan peranti meraka di Malaysia. Hanya beberapa tahun yang lalu tiga syarikat pengeluar ini tidak wujud di Malaysia. Huawei hanya dikenali sebagai syarikat yang menghasilkan modem sementara Xiaomi pula hanya syarikat yang beroperasi di China dengan CEO yang mendewakan Steve Jobs. Tahun 2014 menunjukkan betapa koperatifnya tiga syarikat ini dengan pengenalan peranti baru setiap suku tahunan. Oppo dengan Find 7 manakala Xiaomi dengan MI3 yang laku bagaikan tudung Fareeda. Huawei mempertaruhkan Ascend P7 untuk memikul panji-panji mereka memasuki medan peperangan kuasa besar pengeluar berdarah Xin Shih Huang Di.

Huawei Ascend P7
Pemproses 1.8 GHz Empat Teras Hisilicon Kirin
RAM 2 GB
Muatan Dalaman 16 GB dengan sokongan kad MikroSD
Kamera Utama 13 MP dengan flash
Kamera Depan 8 MP
Skrin 5″ IPS LCD HD Penuh (441 PPI)
Bateri 2500 mAh

Adakah Huawei Ascend P7 sebuah peranti yang berbaloi untuk anda miliki? Dari segi spesifikasi ianya mungkin tewas dengan Xiaomi MI3 kerana menggunakan pemproses 1.8 GHz empat teras HiSilicon Kirin 910T dan bukannya dari keluarga Snapdragon. RAM adalah sebesar 2 Gigabyte dengan muatan dalaman 16 Gigabyte dengan sokongan penambahan memori dalaman sehingga 64 Gigabyte. Kemampuan optik pula ialah 13 Megapixel pada kamera utama dan 8 Megapixel pada kamera hadapan. Skrin IPS LCD dengan resolusi penuh melengkapi spesifikasi peranti ini. Dari segi kepadatan pixel, skrin Ascend P7 adalah lebih baik berbanding Xperia Z2 dengan kepadatan pixel 442 PPI berbanding 424 PPI.

Rekaan P7 menerima beberapa perubahan ketara pada panel belakang dan lokasi beberapa port. Panel belakang yang dahulunya diperbuat daripada aluminium digantikan dengan panel kaca 7 lapisan. Ini jelas mengambil ilham dari peranti keluarga XPeria Sony. Jack fon kepala diubah dari bahagian bawah kiri ke bahagian atas peranti. Port pengecas USB yang dahulunya di bahagian atas diubah ke bahagian bawah. Rekaan butang kuasa kini berbentuk butang bulan dan bukan lagi berbentuk oblong. Secara keseluruhan rekaan Ascend P7 tampak premium dan kemas. Ianya sangat selesa dipegang dan digunakan hanya menggunakan sebelah tangan.

Penggunaan

Ini adalah peranti pertama Huawei yang menggunakan Android Kit Kat yang pernah kami ulas. Pelancar khas Huawei yang diberi nama Emotion UI Versi 2.3 digunakan dengan rekaan semula beberapa ikon, fungsi baharu serta rekaan skrin kekunci yang sedikit berbeza. Kini terdapat pintasan pantas pada skrin kekunci yang boleh diakses dengan melakukan tatalan dari bawah skrin ke atas. Jika tatalan tidak dilakukan pintasan ini tidak kelihatan.

Terdapat juga fungsi melancarkan kamera dengan pantas dari skrin yang dikunci. Dengan menekan butang suara sebanyak dua kali aplikasi kamera akan dilancarkan dengan segera dan gambar akan terus diambil tanpa input dari pengguna.

Dari penggunaan sepanjang tempoh ulasan, kami merasakan Ascend P7 mudah digunakan tanpa masalah sela masa yang ketara. Tidak seperti Xiaomi Redmi Note ataupun Oppo Find 7, Ascend P7 menggunakan butang navigasi pada skrin. Kami merasakan butang navigasi pada skrin adalah sistem navigasi yang paling mesra pengguna. Ini adalah kerana butang kapasitif pada dagu peranti. Butang navigasi dapat dilihat dengan terang dan mudah ditekan. Butang home dihimpit dengan butang back pada bahagian kiri dan butang multi tasking pada bahagian kanan.

Seperti majoriti peranti yang ada di pasaran sekarang, Ascend P7 juga mempunyai fungsi battery saver yang memanjangkan hayat bateri. Antaramuka menjadi minimum dan penggunaan data dihadkan. Kerana bateri peranti ini terlalu kecil fungsi battery saver ini akan akan gunakan dengan kerap. Kami akan mengomen dengan lebih mendalam tentang jangka hayat bateri peranti ini pada ruangan bateri di bawah.


 

Kamera

Huawei Ascend P7 dilengkapi kamera utama sebesar 13 Megapixel dan kamera hadapan sebesar 8 Megapixel.  Pada resolusi 13 Megapixel gambar diambil pada nisbah 4:3. Kemampuan video pula ialah 1080P untuk kedua – dua kamera hadapan dan belakang. Fungsi tambahan yang dinamakan watermark adalah menarik kerana anda boleh meletakkan grafik seperti tarikh dan teks secara terus di atas gambar yang diambil. Fungsi ini sama seperti yang ada pada aplikasi Instaplace dan byang popular. Kami menggunakan gambar yang diambil menggunakan Oppo Find 7 dan Xiaomi Redmi Note untuk membandingkan kualiti gambar Ascend P7. Ketiga – tiga peranti mempunyai kamera utama sebesar 13 Megapixel.

Ujian pertama ialah di dalam kawasan tertutup. Kami merasakan gambar yang diambil menggunakan Huawei Ascend P7 adalah terbaik di sini. Tidak terlalu gelap dan penghasilan warna yang baik. Pada FInd 7 gambar lebih gelap berbanding yang diambil dua peranti yang lain. Gambar yang diambil menggunakan Xiaomi Redmi Note nampak sedikit kebiruan.

Ini pula ujian mengambil gambar di waktu pagi ketika matahari masih belum terbit seterusnya. Sekali lagi kami merasakan gambar yang diambil Ascend P7 adalah paling seimbang. Tetapi kami merasakan penghasilan semula warna pada Redmi Note adalah yang paling tepat. Gambar yang diambil menggunakan Find 7 adalah baik tetapi sekali lagi sedikit gelap berbanding dua peranti lain.

Sekali lagi Ascend P7 mengambil gambar yang terbaik. Penghasilan warnanya juga tepat. Kekurangan pada Find 7 adalah ianya sekali lagi sedikit gelap tetapi waran hijau rimbunan buluh yang diambil nampak hidup.

Kesimpulan Ujian Gambar

Secara keseluruhan gambar – gambar yang diambil menggunakan Ascend P7 adalah paling baik jika dibandingkan dengan gambar yang diambil menggunakan Xiaomi Redmi Note dan Oppo Find 7. Penghasilan warna adalah tepat dan tiada masalah dedahan berlebihan.  Fungsi tambahan watermark adalah menarik kerana anda tidak perlu memuat turun aplikasi tambahan untuk meletakkan grafik pada gambar yang diambil.  Berikut adalah beberapa lagi gambar tambahan yang diambil menggunakan peranti ini.




Penanda Aras

Huawei Ascend P7 diperkasakan oleh pemproses 1.8 GHz Hisilicon Kirin empat teras dan RAM sebesar 2 Gigabyte. Dari ujian penanda aras yang dilakukan, pemproses ini bolehlah dikatakan sebagai pemproses kelas pertengahan. Pada ujian Quadrant ia mencatatkan 7236 markah manakala pada ujian Antutu pula ia mencatatkan 25078 markah.  Akhir sekali pada ujian Futuremark pula ia mencatatkan 7461 markah. Mari bandingkan markah yang berjaya dicatatkan dengan beberapa peranti kelas pertengahan yang pernah kami uji sebelum ini.

Dari carta di atas jelas kelihatan kemampuan Ascend P7 adalah antara yang tertinggi bagi peranti kelas pertengahan. Hanya Redmi Note mencatatkan markah penanda aras yang lebih tinggi.

Dalam penggunaan dunia sebenar kami tidak menyedari sebarang masalah sela masa maupun masalah aplikasi gagal berfungsi sepanjang tempoh ulasan. Kesemua berjalan dengan lancar. Kami hanya menyedari panel belakang peranti mudah panas selepas digunakan untuk beberapa ketika.

Bateri

Walaupun ianya sebuah peranti empat teras dengan skrin HD penuh, Ascend P7 hanya dilengkapi bateri sebesar 2500 mAh. Ini adalah kapasiti bateri yang kecil kerana saiz bateri purata di pasaran sekarang adalah sekitar 3000 mAh. Jadi tidak mengejutkan hayat penggunaan Ascend P7 adalah lebih rendah dari purata. Pada penggunaan ringan ia bertahan selama 15 jam tetapi pada penggunaan berat ia hanya mampu bertahan hampir 5 jam. Ini adalah 4 jam lebih rendah dari purata hayat bateri yang kami uji di makmal Amanz.  Power bank adalah aksesori tambahan wajib jika anda membeli Ascend P7. Ketahanan bateri peranti ini bolehlah dikategorikan sebagai mengecewakan.

Kesimpulan

Ascend P7 ialah telefon pintar pertama Huawei dengan sokongan rangkaian LTE. Binaan dan kemasannya cukup kemas. Panel belakang berkaca mungkin mengingatkan anda kepada keluarga Xperia tetapi ianya benar-benar memberikan perasaan anda memegang sebuah peranti berkualiti tinggi. Posisi butang suara dan kuasa adalah mesra pengguna dan kerana saiz skrin hanya 5″, peranti ini amat mudah digunakan dengan menggunakan sebelah tangan. Bercakap tentang skrin, skrin 1080P LCD IPS peranti ini adalah sangat baik dengan kepadatan pixel yang tinggi.

Emotion UI 2.3 membawa beberapa pembaharuan yang kami gemari seperti rekaan semula ikon dan fungsi baru pada skrin kekunci. Perubahan dari segi rekaan antaramuka adalah minimum. Dari segi kustomasi terdapat beberapa pilihan tema yang tersedia. Aneh sekali kami tidak menjumpai pautan untuk memuat turun lebih banyak tema. Ini adalah berbeza dengan aplikasi tema yang ada pada peranti Xiaomi dan Oppo yang memudahkan anda memuat turun tema – tema baru. Jadi pengguna hanya mempunyai 9 pilihan tema sahaja untuk dipilih.

Dari segi penggunaan peranti adalah sangat lancar digunakan. Tatalan amat pantas dan penukaran aplikasi juga dilakukan dengan pantas. Ini adalah menakjubkan kerana peranti yang menggunakan pemproses Mediatek yang pernah kami ulas sebelum ini rata-ratanya mempunyai masalah sela masa yang ketara.  Masalah yang kami hadapi hanyalah peranti menjadi cepat panas pada panel belakang apabila digunakan untuk jangka masa yang lama.

Kemampuan pemproses adalah kedua tertinggi di kalalangan peranti kelas pertengahan yang penrah kami ulas. Hanya Xiaomi Redmi Note mencatatkan markah yang lebih tinggi di dalam tiga ujian penanda aras yang kami lakukan.

Kami merasakan gambar yang diambil menggunakan kamera P7 adalah baik. Ianya lebih baik dari yang diambil menggunakan Oppo Find 7 dan Xiaomi Redmi Note yang digunakan sebagai peranti perbandingan. Kesemua peranti ini mempunyai sensor kamera utama sebesar 13 Megapixel. Ketajaman gambar dan penghasilan warna adalah sehampir dengan objek sebenar.  Sebuah fungsi yang kami gemari ialah fungsi yang dinamakan watermark. Grafik dengan tarikh serta masa gambar diambil boleh diletakkan secara automatik. Tidak perlu memuat turun aplikasi tambahan dari Google Play.

Jadi adakah Huawei Ascend P7 sebuah peranti yang berbaloi untuk dimiliki? Sekiranya anda mahukan peranti kelas pertengahan ianya antara yang terbaik di pasaran. Kemampuan optiknya juga antara yang terbaik di dalam kelas sensor 13 Megapixel. Ia mampu menjalankan tugasa dengan baik dan dapat digunakan dengan lancar. Tumit Archilles Ascend P7 ialah jangka hayat bateri yang pendek, peranti mudah panas dan harga yang kurang kompetitif. Harga jualan RM 1499  pada hemat kami adalah terlalu mahal sedangkan ada peranti lain di pasaran dengan spesifikasi lebih rendah dijual pada harga yang jauh lebih murah.

PRO dan Kelebihan
  • Kualiti binaan yang baik. Kemasan kaca di belakang membuatkan peranti kelihatan premium.
  • Skrin LCD IPS yang juga baik. Paparan sangat tajam dengan kepadatan pixel yang lebih tinggi dari sebuah Sony XPeria Z2
  • Beberapa pembaharuan pada Emotion UI yang kini masuk versi 2.3.
  • Sokongan rangkaian LTE.
KONTRA dan Kekurangan
  • Harga yang tidak kompetitif. Agak mahal untuk spesifikasinya
  • Panel belakang menjadi agak hangat dengan mudah
  • Kapasiti bateri yang kecil. Hayat penggunaan adalah pendek dari purata

 


TIPS & ULASAN