Cari @ Amanz

Saban hari keupayaan storan mudah alih bersaiz kecil semakin dipertingkatkan. Keupayaan kad Mikro-SD, iaitu kad bersaiz kuku manusia yang lebih kecil dari kad SD, kini menjadi penting sebagai ruang storan bagi peranti mudah alih, dan juga untuk kegunaan fotografi dan rakaman video. Pihak Strontium yang berpangkalan di Singapura telah menghantarkan kad Mikro-SD Strontium 64GB Nitro Plus iaitu antara kad terlaju didalam pasaran untuk kami uji.

IMG_6901Kad Mikro-SD ini didatangkan dengan penyuai kad SD dan juga pembaca kad USB bagi memudahkan pemindahan data sekiranya pengguna tidak mempunyai komputer dengan slot kad SD. Ini agak berbeza berbanding jenama lain kerana kebiasaan untuk kad berprestasi tinggi, penyuai kad SD akan disediakan tetapi tidak pembaca USB bagi kad Mikro SD. Strontium juga turut menyertakan aplikasi MyBackup Pro yang bernilai USD 4.99 (~RM 15)  untuk pembeli kad ini.

Prestasi

Kad ini selain dari mempunyai klasifikasi Class-10, iaitu klasifikasi kelajuan kad ini, ia juga turut mempunyai klasifikasi UHS-1, iaitu Ultra High Speed. Unit yang kami ulas adalah 64GB dan sepanjang tempoh pengujian, kami menggunakannya untuk rakaman video Mingguan Amanz menggunakan kamera EOS 600D. Kami merakam video pada format NTSC dengan resolusi 1920 x 1080p 30fps iaitu kualiti tertinggi kamera tersebut. Berbeza dengan kad lain, kami mendapati kad ini mampu merekod secara terus-menerus jika dibandingkan dengan kad spesifikasi biasa berkapasiti 64GB. Dengan kad biasa, meskipun tempoh rakaman EOS 600D terhad kepada 15 minit, namun kami akan menghadapi masalah secara rawak apabila tempoh rakaman mencecah minit ke-10. Dengan kad ini, kami berjaya merakam sehingga minit ke 14.

IMG_6354Kad ini juga sesuai untuk merakam video pada resolusi 4K namun disebabkan ketiadaan peranti tersebut, kami tidak mendapat mengujinya secara realistik. Apapun berikut merupakan ujian penanda aras menggunakan Blackmagicdesign Disk Speed Test dan juga Crystal Disk Mark. Ujian dilakukan keatas fail bersaiz 1GB.

Carta Perbandingan Kelajuan (menggunakan perisian Crystal Disk Mark & Blackmagic untuk 1000MB)
Medium/Platform Read [MegaBait/saat] Write [MegaBait/saat]
USB 2.0 / PC 22.37 19.10
USB 2.0 / Mac 16.6 6.2
Pembaca Kad SD / Mac 80.1 50.7

Jika dilihat dari prestasi kad ini terutamanya apabila menggunakan penyuai kad SD, ia menawarkan kelajuan yang pantas dan turut membantu dalam proses pemindahan data antara kad dengan komputer. Sekiranya anda seorang yang bekerja dalam industri penyiaran, kad sebegini sudah tentu memudahkan dan mempercepat segala proses pemindahan video kepada peranti pilihan anda.

Kad ini didatangkan dengan jaminan terhad sepanjang hayat dan dijual pada harga USD 98.00 (~RM 311). Pada hemat kami, meskipun harganya agak tinggi namun ia dikhususkan untuk pengguna professional dan mereka yang inginkan kad mikro-SD yang lebih pantas berbanding yang biasa. Dan sekiranya anda ingin menggunakan kad ini untuk telefon bimbit anda, aplikasi MyBackup Pro bernilai USD 4.99 (~RM 15) turut diberikan.

Pro

  • Kelajuannya yang ketara dan boleh dirasai terutamanya semasa memindahkan fail-fail besar.
  • Turut dilengkapi pembaca USB kad Mikro-SD dan aplikasi My Backup Pro.

Kontra

  • Harga yang mungkin sedikit tinggi.
  • Kualiti binaan kepala pembaca USB kad Mikro-SD dari plastik. Terdapat sedikit kemek dan mungkin kerana kekerapan menggunakannya.

skoramanz-strontium

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd