Cari @ Amanz

Tablet iPad adalah peranti pintar yang dapat kita lihat di mana-mana. Kalau ke kedai kopi berjenama pasti ada beberapa pengguna yang meneguk kopi mahal sambil jari khusyuk bermain iPad. Di Stadium Old Trafford peranti ini bersama dengan tablet bersaiz besar yang lain, serta komputer riba akan dilarang di bawa masuk bermula musim ini.

Pihak Manchester United tidak memberitahu sebab mengapa tablet dan komputer riba dilarang dibawa masuk. Tetapi ramai berpendapat peranti tablet menghalang pandangan penonton lain apabila ia digunakan untuk mengambil gambar. Komputer riba pula diharamkan dibawa masuk kerana disyaki digunakan untuk memuat naik video permainan yang sedang berlangsung secara haram.

Di dalam sebaran media yang disertakan, hanya peranti bersaiz kurang dari 150 x 100 milimeter (lebih kurang saiz Galaxy Note 3) akan dibenarkan untuk dibawa masuk. Ini bermakna iPad Mini juga termasuk di dalam senarai peranti yang diharamkan di bawa masuk ke dalam The Theatre of Dreams. Setakat ini hanya Old Trafford secara rasmi melakukan pengharaman ini. Di stadium-stadium bolasepak Liga Perdana Barclay yang lain anda masih bebas membawa tablet dan komputer riba masuk.

ipad-banned

Adakah pengharaman ini wajar? Jika anda menonton bolasepak di stadium adakah pemandangan anda pernah dihalang oleh pengguna tablet? Secara peribadi kami merasakan jika anda pergi menonton bolasepak secara langsung tumpukan perhatian kepada aksi di atas padang dan bukannya pada peranti pintar yang anda bawa.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd