5 Permainan Komputer Yang Harus Dihasilkan Semula

5 Permainan Komputer Yang Harus Dihasilkan Semula

Diterbitkan pada Ogos 15, 2014 oleh .

5-permainac

Beberapa hari yang lalu Capcom mengesahkan permainan Resident Evil yang dihasilkan semula untuk Nintendo Gamecube akan dihasilkan semula dalam versi HD untuk konsol PS3, PS4, XBox 360 dan XBox One. Pada masa yang sama Last Of Us, permainan PS3 yang memenangi ratusan anugerah permainan komputer terbaik dijual dalam versi HD untuk PS4. Penghasilan semula (remake) permainan komputer lama ke versi yang lebih baru kini semakin popular. Ini adalah kerana industri permainan komputer mula meniru langkah industri filem Hollywood yang melakukan “reboot” untuk frankais yang menjanjikan keuntungan tanpa perlu memikirkan harta intelek baru. Kami sebenarnya tidak berapa gemar dengan kegilaan melakukan penghasilan semula ini kerana ianya kerap kali menghancurkan nostalgia yang tersimpan di batu jemala kami. Lihat sahaja apa yang terjadi kepada Transformers dan Teenage Mutant Ninja Turtles. Dua memori indah kami yang membesar di awal 80an kini hancur kerana Michael Bay memusnahkannya atas dasar mahu mendapatkan keuntungan mudah.

Tetapi sekiranya idea penghasilan semula menjadi semakin popular, kami mahukan beberapa siri permainan komputer di bawah dipertimbangkan.

COMMANDOS

commandoesCommandos Beyond The Call of Duty ialah sebuah permainan komputer yang kami temui secara tidak sengaja pada tahun 1998. Pada waktu itu kami kebosanan melakukan ulang kaji untuk peperiksaan A Level. Kami meminjam sebuah komputer riba milik seorang teman dan permainan terlihat ikon permainan komputer ini di desktop. Bagi yang tidak mengenali permainan ini (kerana anda semua masih mentah) Commandos membolehkan anda mengawal skuad elit komando ketika Perang Dunia Kedua. Setiap ahli skuad komando mempunyai keistimewaan sendiri.

Fins mampu berenang menggunakan skuba manakala Duke cekap menggunakan senapang hendap. Anda harus berhati – hati kerana jika tersilap langkah ahli skuad komando anda akan terkorban dan anda perlu bermula dari awal. Commandos Beyond The Call of Duty terkenal dengan tahap kesukarannya yang boleh dikategorikan sebagai sadis. Kadang kala dan sudah melakukan quick save bagi mengelakkan kegagalan tetapi beberapa minit kemudian menyedari kesilapan menyorokkan mayat Nazi yang dibunuh sebelum quick save dilakukan menyebabkan misi anda gagal. Anda benar – benar merasakan diri anda adalah seorang komando. Setiap pergerakan haruslah sempurna dan kemampuan menghafal pola rondaan askar Nazi yang berkeliaran sekitar sasaran adalah penting. Setiap peta misi adalah kecil tetapi anda perlu bermain selama berjam – jam untuk dengan mengalami puluhan kegagalan sebelum berjaya diselesaikan.

Tiga sekuel dihasilkan oleh Pyro Studios di antara tahun 2001 sehingga 2006. Commandos Strike Force ialah sekuel terakhir yang mengubah formula pandangan isometrik 3D kepada permainan first person shooter. Perubahan yang sangat drastik Strike Force membangkitkan kemarahan ribuan peminat. Ianya juga gagal mendapat markah ulasan yang baik. Secara peribadi Strike Force ialah sekuel yang memalukan oleh Pyro. Commandos 3 yang dihasilkan pada tahun 2003 juga sebuah sekuel yang lemah kerana membuang beberapa fungsi kekunci pintasan yang diperkenalkan di dalam Commandos 2.

Sudah 8 tahun tiada lagi permainan komputer baru dihasilkan oleh Pyro Studios. Syarikat ini sendiri kini menghasilkan aplikasi permainan untuk peranti pintar. Alangkah baiknya jika mereka boleh menghasilkan Commandos 4 dan kembali kepada formula pandangan isometrik 3D. Pasaran sekarang bukan sahaja dahagakan permainan bernostalgia malahan ramai mahukan genre permainan yang dianggap retro. Sebagai contoh Rainbow Six Siege mengembalikan mod merancang pergerakan sebelum misi yang diperkenalkan di dalam Rainbow Six pertama.

Kami mahukan permainan Commandos yang baru kerana tiada permainan lain seakannya di pasaran sekarang. Permainan komputer bertemakan Perang Dunia Kedua juga semakin pupus dan digantikan dengan tema futuristik (COD : Advanced Warface).

Paling kurangpun kami berharap versi peranti pintar dapat dihasilkan. Kami rasakan permainan seperti Commandos pastinya sesuai dimainkan di atas tablet.

Soldier Of Fortune

boxshot_uk_largeSoldier of Fortune terkenal kerana keganasan yang melampau. Ianya antara permainan FPS terawal yang menunjukkan kecederaan bergantung kepada bahagian tubuh yang ditembak.Permainan ini dihasilkan oleh Raven Software menggunakan enjin Ghoul 2.0 yang membahagikan tubuh kepada 36 bahagian yang setiap satunya akan menunjukkan kecederaan yang unik apabila ditembak. Tembakan di bahagian perut dengan menggunakan peluru tabur akan mengakibatkan usus mangsa terburai keluar. Mekanisma “limb specific damage” ini boleh dilihat sekarang pada permainan Dead Space, MGS Revengence dan Fall Out 3. Kerana tahap keganasan SOF yang dianggap melampau, permainan komputer ini diberikan pengkelasan Mature dan hanya boleh dijual kepada individu berusia 17 tahun ke atas

Mengapa kami rasakan SOF harus dihasilkan semula? Pertama sekali ialah kerana kesemua FPS yang ada dipasaran sekarang tidak menunjukkan kesan kecederaan yang realistik. Rata- rata juga berlumba- lumba menjadi klon Call of Duty dan ini adalah membosankan. Dengan kemampuan grafik komputer sekarang kami yakin kesan kecederaan yang mampu dipaparkan pastinya lebih realistik. Bayangkan SOF IV dengan grafik sehebat Sniper Elite III ataupun Mortal Kombat X. Jika permainan third person shooter dan beat em up ini mampu memaparkan kesan kecederaan yang realistik, pastinya SOF generasi terkini mampu melakukannya.

Kali terakhir SOF hadir di pasaran ialah pada tahun 2007 dengan SOF Payback. Malangnya sekuel ini tidak dihasilkan oleh Raven Software dan ianya tidak mendapat sambutan dan ulasan yang baik. Sudah tiba masanya untuk SOF kembali menemui peminat yang dahagakan permainan FPS yang bukan klon COD dan mempunyai grafik yang menunjukkan kecederaan akibat ditembak yang lebih realistik.

Bare Knuckle Streets of Rage

2261252-streets_of_rage__cover_Bare Knuckle/ Streets of Rage ialah permainan yang harus dimiliki kesemua pemilik Sega Megadrive. Ianya jawapan Sega kepada Final Fight milik Capcom dan Double Dragon milik Tecnos. Tidak seperti Final Fight dan Double Dragon, siri permainan side scrolling ini tidak pernah dihasilkan untuk generasi moden ataupun aplikasi mobil. Kali terakhir siri ini dihasilkan ialah Streets of Rage 3 pada tahun 1994. Selama 20 tahun peminat siri ini hanya mampu melepaskan rindu dengan bermain menggunakan emulator dan ROM yang dimuat turun secara haram. Kegagalan Sega untuk menghasilkan sekuel baru sejak 1994 adalah agak mengejutkan kerana siri ini adalah antara permainan komputer paling laku dalam sejarah Sega.

Beberapa percubaan menghasilkan semula permainan ini pernah dilakukan. Terdapat perancangan untuk menghasilkannya untuk konsol Sega Saturn tetapi ianya dibatalkan. Beberapa demo dam konsep juga dihasilkan pada tahun 2012 tetapi projek ini menerima nasib yang sama. Sebuah projek penghasilan semula dengan grafik HD dimulakan oleh beberapa orang peminat secara bebas pada tahun 2011 tetapi terpaksa dihentikan selepas menerima ugutan saman dari pihak Sega.

Kenapa kami mahukan penghasilan semula? Kami sudah menanti selama 20 tahun untuk permainan ini muncul semula di pasaran. Penantian kami adalah jauh lebih lama dari peminat Half Life menanti kemunculan Half Life 3 dan penantian untuk Duke Nukem Forever.  Sejak beberapa tahun kebelakangan ini beberapa permainan klasik dari era konsol katrij dihasilkan semula. Duck Tales Remastered dan Teenage Mutant Ninja Turtles Reshelled adalah dua permainan klasik berdefinisi tinggi yang boleh dimainkan di konsol PS3 dan Xbox 360. Jadi kita tahu pasaran untuk permainan klasik wujud. Selain daripada itu Sega ada menghasilkan versi peranti pintar beberapa permainan klasik mereka seperti Virtua Tennis dan Crazy Taxi.  Dua permainan ini memang klasik untuk konsol Dreamcast tetapi dari segi prestij dan jualan ianya tidak mampu menandingi siri Streets of Rage. Kami mahukan Streets of Rage IV dengan grafik setanding Batman Arkham Knight untuk PlayStation 4. Ayuh Sega penuhilah permintaan kami.

Re-Volt

revoltPermainan ini ialah penyebab mengapa artikel ini ditulis. Kami menemui versi Android permainan ini beberapa hari yang lalu. Ia mengembalikan kami ke tahun 2002 di mana kami menghabiskan beberapa jam setiap malam bermain permainan ini di kolej. Dari segi grafik ianya bukanlah permainan komputer yang paling cantik pernah dihasilkan. Yang membuatkannya menarik ialah anda mengawal kereta mainan kawalan jauh dan berlumba di kawasan perumahan. Fantasi anda ketika berusia 10 tahun menjadi realiti di dalam permainan komputer ini. Bila difikirkan semula mengapa permainan seperti ini tidak banyak dihasilkan. Seingat kami selain daripada Re-Volt, hanya Toy Commander (Dreamcast) dan Micro Machines (PlayStation) menjadikan impian anda mengawal kenderaan mainan seperti ianya kenderaan sebenar.

Genre permainan seperti Re-Volt pupus dari pasaran selepas tahun 2000. Syarikat Acclaim Entertaintment yang memiliki IP Re-Volt jatuh bangkrap pada tahun 2004.  Hak milik Re-Volt kemudian dijual kepada syarikat We Go Interactive yang berpengkalan di Korea Selatan. Seperti yang kami katakan tadi Re-Volt kini menjadi sebuah aplikasi  telefon pintar. Malangnya apabila bermain versi ini kami menyedari ianya berbeza dengan Re-Volt yang pernah kami mainkan dahulu. Mengawal kereta mini anda dengan menggunakan skrin sesentuh adalah sukar. Menembak kereta lain dengan thunderclap juga tidak memberikan kepuasan yang sama. Mungkin kerana kualiti grafik yang tidak sebaik versi PC. Bermain pada skrin 10 inci (kami bermain menggunakan tablet) juga tidak memuaskan.

Kenapa kami mahukan versi baru? Kerana seperti kami katakan tadi genre permainan kereta mainan seperti ini sudah pupus dari pasaran. Permainan lumba kereta yang dihasilkan sekarang terlalu menekankan realiti (Grand Turismo, Forza). Tiba masanya sebuah permainan lumba kereta yang lebih santai dan mengembalikan nostlagia zaman kanak-kanak hadir semula di pasaran.

Final Fantasy 7

FF7Tidak perlu menulis mengapa kami mahukan penghasilan semula Final Fantasy 7. Apa yang pasti sekiranya anda melakukan carian Google permainan apakah yang memerlukan penghasilan semula, FF7 ialah permainan yang sering mendapat tempat pertama. Walaupun dikeluarkan 17 tahun yang lalu di konsol PlayStation, permainan ini masih terjual sehingga sekarang. Ianya juga dinobatkan sebagai permainan Final Fantasy terbaik yang pernah dihasilkan dengan jualan mencecah 10 juta unit. Cloud Strife, Aerith Gainsborough dan Sephiroth  adalah tiga nama yang pastinya dikenali sesiapa sahaja yang menggelarkan diri mereka seorang gamer.

Peminat FF7 sudah meminta penghasilan semula permainan RPG legenda ini sejak 2005. Pada tahun tersebut sebuah demo pendek Final Fantasy 7 dihasilkan untuk PlayStation 3. Ianya dihasilkan oleh SquareEnix untuk menunjukkan kemampuan grafik konsol terkini Sony pada ketika itu. Sejak dari hari itu khabar angin penghasilan semula FF7 semakin memuncak. Tetapi pada tahun 2010 pihak SquareEnix menghancurkan hati peminat dengan mengatakan mereka tidak mempunyai masa untuk menjadikan impian mereka sebuah realiti. Projek – projek lain mereka harus diselesaikan terlebih dahulu dan mereka tidak mahu menghabiskan 3 tahun untuk hanya menghasilkan semula permainan lama dengan grafik terkini.

 

Jadi mengapakah kami masih menyimpan impian FF7 dihasilkan semula sungguhpun ianya seperti bermimpi Liverpool memenangi  liga tahun lalu?  Alasan kami ialah FF7 ialah RPG pertama yang pernah kami main. Nilai nostalgia permainan ini adalah paling tinggi berbanding empat permainan yang kami senaraikan di atas. Dengan kemampuan grafik yang boleh dilihat sekarang tidak mustahil FF7 edisi HD mempunyai grafik secantik filem animasi Final Fantasy Advent Children. Dengan kegagalan Final Fantasy XIV dan Lightning Returns : FF XIII, mungkin kini tiba masanya SquareEnix mendengar kehendak peminat. Kembalilah kepada permainan yang menjadikan FF nama besar di dalam dunia permainan komputer dan RPG. Kami yakin jualan penghasilan permainan ini pastinya meletup.

 

 

 


TIPS & ULASAN