Carian
Ulasan: Jabra Revo Wireless
August 20, 2014 Ikhwan Nazri

Bulan lepas Jabra Malaysia telah mengemaskini harga peranti audio mereka iaitu Jabra Revo Wireless, Jabra Revo Corded dan Jabra Tag. Potongan harga sebanyak 30% itu sekaligus membolehkan ramai peminat jenama ini berpeluang memilikinya. Kami juga turut berkesempatan mencuba dua daripadanya iaitu Jabra Revo Wireless dan Jabra Tag. Untuk ulasan pertama ini, kami akan mengulas Jabra Revo Wireless.

[amanz-gallery]

Rekabentuk

Jabra Revo Wireless hadir dalam empat variasi warna iaitu hitam, hitam dengan kemasan emas, Kelabu, dan juga putih. Unit yang diulas kami berwarna hitam dengan kemasan berwarna emas. Fon kepala ini tidak terlalu berat dan pada corong kanan terdapat kawalan seumpama Clickwheel yang terdapat pada iPod dan dipanggil Touch Control. Butang ini digunakan untuk menjawab atau membatalkan panggilan, memulakan atau menghentikan lagu. Sekiranya menekan butang ini dengan lama, fungsi Siri (iPhone) akan diaktifkan. Sekiranya ingin mengubah tahap bunyi, pengguna hanya perlu menyentuh corong menggunakan jari sambil membuat pusingan mengikut atau melawan arah jam. Corong kanan mempunyai suis untuk mengaktifkan sokongan Bluetooth dan mempunyai lubang Mikro-USB bagi tujuan pengecasan dan untuk menggunakan fungsi audio sokongan USB. Corong kiri pula mempunyai sensor NFC terbina-dalam jadi sekiranya anda ingin menghubungkan fon kepala ini dengan telefon melalui NFC, ianya semudah menyentuhkan telefon anda ke corong fon kepala ini. Corong kiri juga mempunyai lubang jek audio yang standard.

IMG_6557

Fon kepalanya juga dilengkapi dengan span jenis memory foam yang boleh digantikan apabila lusuh.  Ia hadir dalam bungkusan besar yang memuatkan pelbagai aksesori tambahan. Antara aksesorinya adalah kabel Mikro-USB bagi tujuan pengecasan serentak dengan fungsi pendengaran melalui palam USB, kabel jek audio yang standard, serta beg penyimpanan fon kepala ini. Bentuknya tidak terlalu besar dan boleh dilipat.

Prestasi 

Sepanjang menggunakan fon kepala ini, kebanyakan masa sambungannya menggunakan Bluetooth. Kadangkala terdapat masalah dalam sambungan secara Bluetooth dengan telefon pintar namun tiada masalah yang dihadapi dalam penyambungan kepada komputer. Mungkin ini bukan masalah fon kepala ini. Dengan pengecasan penuh, kuasa bertahannya agak lama, mencecah seminggu dengan kadar penggunaan seharian selama 2 jam berterusan. Mengikut spesifikasi, masa tersedia untuk mendengar lagu atau menggunakan fungsi Bluetooth bagi berbual adalah 12 jam, dan masa bertahan pula selama 240 jam.

IMG_6532

Untuk peranti ini juga Jabra telah menyediakan aplikasi khusus iaitu Jabra Sound App yang tersedia untuk iOS dan Android. Aplikasi ini membolehkan pengguna menikmati kualti audio Dolby Digital Plus. Sekiranya pengguna menggunakan fon kepala ini tanpa menggunakan Jabra Sound App, bunyi yang terhasil adalah biasa dan mendatar. Kualiti muzik dengan fungsi Dolby agak bagus dan aplikasi ini juga dapat membaca senarai main muzik yang telah disimpan menggunakan aplikasi utama (seperti iTunes di iOS) jadi memudahkan anda terus memainkannya tanpa perlu menyusun semula senarai muzik anda.

Melalui ujian audio ringkas, bunyi yang dijana oleh fon kepala ini agak seimbang diantara kualiti bass dan treble-nya. Sesetengah fon kepala yang telah saya cuba mempunyai kualiti bass yang melampau. Namun bagi mereka yang sukakan bass berlebihan, anda boleh memanipulasinya pada menu Equalizer yang terdapat pada aplikasi Jabra Sound.

Perbezaan yang ketara juga boleh didengar apabila memainkan lagu menggunakan pilihan Dolby Digital. Menurut spesifikasi, pilihan Dolby Digital juga boleh diaktifkan semasa menonton video YouTube namun saya tidak dapat merasakan perbezaan kualiti bunyi antara menonton video YouTube menggunakan aplikasi Jabra Sound, dan menonton video yang sama menggunakan aplikasi YouTube rasmi. Saya tidak dapat membezakannya. Ada kemungkinan aplikasi Jabra Sound hanya memuatkan laman YouTube secara iframe kerana kadangkala apabila memilih YouTube melalui aplikasi ini, halamannya tidak dimuatkan dan mempunyai paparan yang sama seperti aplikasi rasmi.

Pada harga RM 799, harganya memang setaraf peranti-peranti audio yang berkualiti tinggi. Peranti lain yang pernah saya cuba dalam lingkungan harga ini adalah Sennheiser Momentum On-Ear (RM 829) dan berbanding fon kepala tersebut, pada pendengaran saya, Jabra Revo Wireless dirasakan mempunyai kualiti audio yang kurang ‘tajam’ (crisp). Mungkin saya perlu memanipulasi tetapan Equalizer dengan lebih banyak. Apapun berbanding Sennheiser Momentum On-Ear, ia menggunakan kabel dan tidak mempunyai fungsi NFC & Bluetooth.

Pro

  • Fon kepala yang ringan serta binaan yang kukuh dan premium.
  • Kualiti Dolby Digital yang menawarkan bunyi lebih baik.
  • Kawalan Touch Control yang mudah, seumpama Clickwheel pada iPod.

Kontra

  • Terkadang susah untuk menghubungkan fon kepala dan telefon pintar secara Bluetooth.
  • Pada kelas harga ini, bunyinya kurang tajam berbanding pesaingnya.
  • Aplikasi Jabra Sound tidak terdapat untuk komputer.

 

Penafian: seperti bau dan rasa, ulasan berdasarkan pendengaran terhadap peranti audio adalah tertakluk kepada personaliti dan kebolehan penulis itu sendiri. Anda dinasihatkan supaya mencubanya terlebih dahulu sebelum melakukan pembelian.

Komen