Cari @ Amanz

google-logoSeperti mana yang kita tahu, pengguna internet bawah umur biasanya tidak dibenarkan mengakses perkhidmatan tertentu. Facebook misalnya tidak membenarkan pengguna berumur 13 tahun kebawah atas dasar melindungi hak kanak-kanak. Malahan sekiranya terdapat pengguna bawah umur, Facebook akan terus membuang akaun mereka. Namun, dengan perubahan dunia teknologi dengan pesat, kini syarikat teknologi turut melihat kepada beberapa cara untuk membolehkan pengguna kanak-kanak ini mendaftarkan akaun dengan mereka.

Salah satu syarikat berkenaan adalah Google. Mengikut laporan terbaru, Google sedang melihat kepada beberapa cara untuk membolehkan pengguna muda dan kanak-kanak ini mendaftarkan akaun dengan mereka – sekaligus membolehkan mereka mengakses pelbagai perkhidmatan mereka.

Pengenalan perkhidmatan ini untuk kanak-kanak turut akan didatangkan dengan sebuah panel kawalan khusus oleh ibu bapa untuk mengawal aktiviti anak-anak mereka. Ibu bapa dikatakan boleh menetapkan apakah yang boleh diakses oleh anak-anak mereka, selain melihat beberapa perkara lain menggunakan panel kawalan tersebut.

Antara perkhidmatan yang dikatakan akan mengambil kelebihan ini adalah termasuk GMail dan juga YouTube – sekaligus menawarkan kandungan yang terhad kepada anak-anak muda ini. Google dikatakan masih lagi pada peringkat awal, dan mungkin mereka akan melalui beberapa fasa sebelum memperkenalkan sokongan ini secara rasminya.

Galaxy Tab 3 Kids

Jika dilihat pada trend peranti terkini, telah banyak peranti dibangunkan khusus buat kanak-kanak. Samsung pada tahun lalu mengumumkan Tab 3 Kids dan Intel pada tahun ini telah berkongsi mengenai peranti rujukan bagi tujuan pembelajaran. Mungkin perancangan Google ini secara tidak langsung boleh menyelesaikan masalah penipuan akaun yang berlaku sekarang dimana acap-kali kita melihat seseorang dibawah umur, telahpun menggunakan perkhidmatan yang tidak dibenarkan dengan cara memasukkan tarikh lahir yang salah.

Apa pendapat anda? Wajarkah kanak-kanak diberikan akses secara terus dengan kawalan ibu bapa yang minimum?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd