HTC One M8 Versi Windows Phone 8.1 Diumumkan – Khusus Untuk Pasaran Amerika Syarikat
HTC

HTC One M8 Versi Windows Phone 8.1 Diumumkan – Khusus Untuk Pasaran Amerika Syarikat

Diterbitkan pada Ogos 20, 2014 oleh .

Seperti mana yang dijadualkan, hari ini melalui acara khusus yang diadakan oleh HTC di Amerika Syarikat, mereka telah memperkenalkan sebuah lagi telefon pintar baru yang mana merupakan HTC One M8 versi Windows Phone. Peranti ini dilihat akan hanya khusus untuk pasaran Amerika Syarikat buat masa ini.

HTC One M8 Windows

Menggunakan nama “HTC One M8 for Windows“, telefon pintar ini hadir dengan pelbagai spesifikasi yang lebih kurang sama dengan versi Androidnya. Ia menggunakan skrin bersaiz 5-inci dengan paparan HD penuh, cip pemprosesan Snapdragon 801 2.3GHz, kamera belakang 4MP Ultrapixel dengan sokongan Duo Camera, memori sebanyak 2GB RAM, selain turut menyertakan beberapa fungsi khusus HTC termasuk BoomSound dan juga HTC Dot View Case.

HTC One M8 Windows

HTC One M8 Windows

Memandangkan ia menggunakan platform Windows Phone 8.1, maka beberapa fungsi tambahan turut hadir ke peranti berkenaan, termasuk antaranya adalah sokongan Cortana, panel notifikasi Action Center, papan kekunci WordFlow dan sebagainya.

Pihak HTC sendiri turut menyertakan aplikasi kamera khusus untuk membolehkan ia mengambil kelebihan HTC Duo Camera. Fungsi lain seperti Blinkfeed turut hadir dalam bentuk aplikasi khusus pada peranti ini.

Ia tidak diketahui lagi sama ada peranti Windows Phone daripada HTC ini akan memasuki pasaran tempatan ataupun sebaliknya. Memandangkan permintaan peranti Windows Phone dari HTC sebelum ini agak kurang di rantau Asia, berkemungkinan besar kita mungkin tidak akan melihatnya – dan mungkin sebab itu pihak HTC mengumumkan HTC Butterfly 2 pada awal hari ini untuk rantau Asia.


TIPS & ULASAN