Cari @ Amanz

Bagi anda yang sering ke luar negara untuk tempoh yang singkat, mungkin sering kali menggunakan perkhidmatan perayauan (roaming) untuk membolehkan anda terus kekal berhubung dan menggunakan perkhidmatan data tanpa masalah. Kini, Maxis dilihat menawarkan sedikit kemaskini untuk perkhidmatan perayauan mereka.

Maxis Data Roam Saver

Melalui penawaran baru, mereka kini menawarkan perkhidmatan baru dinamakan Data Roam Saver, membolehkan pengguna mengakses data sehingga 50MB pada harga RM10 sehari. Sebaik sahaja data yang ditawarkan tersebut habis digunakan, kelajuan akan dihadkan pada kadar 32kbps dan tiada sebarang caj tambahan untuknya. Data Roam Saver ini juga terhad kepada 16 buah negara sahaja buat masa ini.

Apa pun, untuk menggunakannya, pengguna perlu melanggan ia terlebih dahulu, dan bukannya secara automatik seperti perkhidmatan perayauan data biasa yang dikenakan caj sebanyak RM38 sehari.

Sebelum ini, UMobile turut telah menawarkan perayauan data sehingga 50MB secara percuma – tetapi akan dikenakan caj tambahan sekiranya pengguna menggunakan lebih daripdanya – maksimum sehingga RM30 sehari.

Pengenalan penggunaan data sehingga 50MB ini mungkin akan membolehkan pengguna terus berinteraksi dengan keluarga dan rakan-rakan menggunakan WhatsApp, dan pelbagai perkhidmatan permesejan lain – memandangkan ia tidak menggunakan data yang begitu tinggi.

Selain Data Roam Saver, pihak Maxis juga turut memperkenalkan perkhidmatan perayauan LTE di tujuh buah negara, iaitu di Hong Kong (CSL), Brunei (DST), Singapura (Singtel), Taiwan (TWN), Korea (SK Telecom), Jepun (NTT Docomo), dan juga Filipina (Globe).

Maxis LTE Roaming

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd