Cari @ Amanz

Uber baru-baru ini telah memperkenalkan UberX di Kuala Lumpur, sekaligus menawarkan harga yang agak rendah dan memberikan kesan kepada pemandu teksi tempatan. Lanjutan daripadanya, kini Gabungan Persatuan dan Syarikat-Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (Gabungan) meminta pihak kerajaaan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap perkhidmatan tersebut.

UberX KL

Uber mempunyai dua penawaran perkhidmatan mereka di Malaysia, iaitu UberX dan juga UberBlack. UberX merupakan perkhidmatan bajet daripada mereka, mengenakan caj sebanyak RM1.50, dan seterusnya caj dikira berdasarkan jarak perjalanan dan masa iaitu RM0.55/km + RM0.20/min. Untuk UberBlack pula, ia mengenakan caj premium dengan penawaran kereta premium – bermula pada kadar asas RM3.00, dan dikenakan penambahan sebanyak RM1.15/km + RM0.35/min.

Apa pun, yang menjadi fokus utama adalah bukan disebabkan harganya, sebaliknya cara Uber beroperasi sendiri. Gabungan mengatakan yang mana ia beroperasi tanpa permit yang bersesuaian dikeluarkan oleh pihak SPAD, selain pemandunya yang dipercayai tidak mempunyai lesen memandu kenderaan awam. Disamping itu, ia turut dikatakan yang mana Uber tidak menggunakan kereta persendirian yang diperiksa oleh Puspakom – seperti yang dilakukan pada teksi.

Perkhidmatan Uber sebelum ini telah dihalang akses dibeberapa buah negara, selain turut dilihat mengalami halangan di Indonesia.

Sebelum ini, ketika ditanya berkenaan perkara tersebut, pihak Uber mengatakan mereka hanya syarikat teknologi yang menghubungkan pemandu dengan mereka yang ingin menyewa kenderaan. Apa pun, memandangkan pemandu Uber mengambil orang awam, mungkin beberapa perkara perlu dipantau dalam memastikan keselamatan pengguna terjamin.

Buat masa ini, pihak SPAD masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan dengan perkara ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd