Google sedia merakamkan beberapa lokasi menarik sekitar Malaysia menggunakan Street View Trekker mereka, dan terkini ia dilihat mereka bekerjasama dengan Malaysia Nature Society untuk program “Paddle for Nature” dalam usaha untuk merakamkan pantai Semenanjung Malaysia yang sepanjang lebih 2000 kilometer.
Ekspedisi kayak solo ini akan dimulakan pada 9 September 2014 ini di Pengkalan Kubor, Kelantan, dimana ia akan diteruskan sehingga Pulau Perhentian, Pulau Tioman, Pulau Pinang, sehinggalah Kuala Perlis dan ditamatkan di Langkawi. Proses ekspedisi ini dijangka akan mengambil masa sekitar dua setengah bulan.
Misi utama ekspedisi ini adalah untuk merakamkan keadaan pantai semasa sekitar Semenanjung Malaysia, dan untuk menjayakannya, Street View Trekker akan digabungkan dan dilengkapkan pada kayak buat pertama kalinya.
Dengan permulaan rakaman ini, mungkin kita akan dapat melihat dan mengakses rakaman tersebut melalui perkhidmatan Google Street View dalam beberapa bulan selepas itu. Bagi anda yang berminat dan ingin menyumbang dalam program Malaysia Nature Society ini, boleh menyemak halaman rasmi mereka di MNS Paddle For Nature.