Apple Mungkin Memperkenalkan “iWatch” Pada Bulan September Ini – Bersama-sama iPhone 6

Apple Mungkin Memperkenalkan “iWatch” Pada Bulan September Ini – Bersama-sama iPhone 6

Diterbitkan pada Ogos 28, 2014 oleh .

Bagi anda yang mengikuti berita berkenaan Apple, mungkin sedia mengetahui mengenai laporan sebelum ini mengatakan gergasi dari Amerika Syarikat berkenaan yang akan memperkenalkan iPhone generasi baru pada 9 September ini di Amerika Syarikat (10 September waktu Malaysia).

iPhone 6 kelak dijangka akan hadir dalam dua pilihan saiz, iaitu 4.7-inci dan 5.5-inci. Selain daripada kedua-dua telefon pintar baru daripada Apple, kini ia dikatakan Apple turut akan memperkenalkan peranti boleh-pakai mereka pada acara yang sama.

Sebelum ini, peranti boleh-pakai yang turut dipanggil “iWatch” oleh ramai dikatakan akan diperkenalkan sekitar bulan Oktober kelak. Namun, perancangan pihak Apple dilihat berubah, dan mungkin mereka akan memperkenalkannya lebih awal kepada pengguna. Seperti dijangka, iWatch ini kelak akan mengintegrasikan beberapa sokongan khusus, termasuk memfokuskan kesihatan melalui integrasi HealthKit.

Mungkin juga ia tidak mustahil untuk pihak Apple memperkenalkan ia terlebih dahulu dan menjualnya beberapa bulan selepas itu – seperti mana yang mereka pernah lakukan untuk Mac Pro sebelum ini.

Apa pun, sama-sama kita nantikan apakah yang akan diumumkan oleh Apple pada acara berkenaan kelak. Gergasi perkomputeran dan teknologi dari Amerika Syarikat berkenaan dijangka akan mula menghantar jemputan kepada media antarabangsa tidak lama lagi.


TIPS & ULASAN