Cari @ Amanz

Oppo N1 hadir di pasaran tempatan Februari yang lalu. Keunikan peranti Android ini ialah ia mempunyai kamera utama yang boleh berputar dan digunakan sebagai kamera hadapan untuk mengambil gambar selfie. Kami memberikan markah ulasan baik untuk peranti tersebut. Sungguhpun begitu kami ada mengatakan saiz peranti yang amat panjang dan kualiti gambar yang kurang memuaskan merendahkan markah keseluruhan N1

Oppo N1 Mini
Pemproses 1.6 GHz Empat Teras Snapdragon 400
RAM 2 GB
Muatan Dalaman 16 GB
Kamera Utama 13 MP dengan flash
Kamera Depan 13 MP dengan flash
Skrin 5″ IPS LCD 720P 294 ppi
Bateri 2140 mAh

Bulan ini Oppo N1 Mini muncul di pasaran. Dengan skrin sebesar 5″ ianya 24% lebih kecil berbanding N1. Sungguhpun begitu N1 Mini tebal sedikit dengan ketebalan 9.2 mm berbanding 9 mm pada N1 asal. Dari seri rekaan tidak banyak perubahan dilakukan. Mekanisme kamera berputar pada bahagian atas dikekalkan tetapi dengan saiz yang lebih kecil. Perubahan paling ketara ialah panel sesentuh yang ada pada bahagian panel belakang N1 tidak lagi disertakan. Secara ikhlasnya kami merasakan fungsi panel O Touch ini adalah idea yang baik tetapi pelaksanaannya di tahap perisian masih perlu diperincikan. Jadi ketiadaan panel O Touch pada hemat kami bukanlah kehilangan yang besar untuk N1 Mini. Resolusi skrin juga dikurangkan dari 1080P ke 720P dan lokasi butang kuasa kini di bahagian kiri peranti.  Lokasi butang suara, UBS, jack fon kepala dan pembesar suara masih sama dengan N1 asal.

Masih tiada sokongan penambahan memori dalaman dan tiada juga model dengan muatan dalaman 32 Gigabyte. Oppo hanya menawarkan model sebesar 16 Gigabyte.  Bagi kami 16 Gigabyte kini sudah boleh dianggap kecil kerana saiz aplikasi yang semakin besar serta saiz video HD Penuh yang boleh dirakam menggunakan N1 Mini.

Kemasan masih lagi baik dengan perimeter peranti disahuti gegelang logam berwarna emas. Permukaan belakang kini diperbuat daripada plastik. Tiada saduran seakan tembikar lagi.  Pengurangan saiz membuatkan N1 Mini lebih selesa dipegang dengan sebelah tangan.

 

[amanz-gallery]

 

Color OS 1.4

Sistem operasi masih lagi Android Jelly Bean dengan antaramuka  Color OS 1.4.0i . Ini sedikit mengecewakan kerana kami berharap peranti utama sesebuah syarikat seharusnya menggunakan binaan Android terkini. Hanya binaan Color OS sahaja diberikan penaiktarafan berbanding yang digunakan pada Oppo N1. Versi Color OS ini juga lebih terkini dari yang digunakan pada Oppo Find 7.

Sistem operasi yang lebih terkini ini memberikan beberapa fungsi yang sebelum ini tidak disertakan pada N1 asal. Fungsi Exclusive Space yang mempunyai aplikasi pemain muzik dan kamera (Photo Space)  kini boleh dinyahaktifkan sekiranya tidak digunakan oleh pengguna.

Seperti pada Find 7 skrin boleh dikunci tanpa anda perlu menakan butang kuasa. Hanya tekan butang home sebanyak 2 kali dengan pantas dan peranti akan dikunci. Apabila skrin dimatikan ia boleh dihidupkan semula dengan melakukan tekanan dua kali dimana-mana bahagian skrin. Fungsi ini sekali lagi tidak ada pada N1 asal.

Color OS seperti Emotion UI dan MIUI juga mempunyai pelbagai tema yang boleh dimuat turun sekiranya tema yang diberikan tidak memenuhi citarasa anda. Kami kurang menggemari antaramuka asal Color OS dan menerusi fungsi tema yang sedia ada kami boleh mengubah kepada rupa seakan Android asal. Tema khas untuk skrin kekunci juga boleh dimuat turun dari aplikasi kustomasi Color OS yang disediakan. Terdapat puluhan tema yang boleh dipilih pengguna dan ianya mudah digunakan.


 

Fungsi gerakan jari (gesture) masih dikekalkan dengan penambahan beberapa lagi gerakan yang boleh diprogramkan mengikut kehendak pengguna. Seperti di Oppo N1, anda boleh juga mencipta pergerakan jari anda sendiri mengikut keperluan peribadi anda.

Sebuah lagi fungsi baru  yang hadir kali ini ialah kemampuan mengunci peranti tanpa perlu menekan butang kuasa. Kini ia dapat dilakukan dengan menekan butang home sebanyak dua kali. Jika butang home ditekan sebanyak dua kali dalam keadaan skrin dikunci, skrin akan diaktifkan dengan segera.

Sepanjang tempoh ulasan, kami tidak menghadapi sebarang masalah dengan Oppo N1 Mini. Ianya sangat lancar dan pantas. Ini paling kami sedari ketika menggunakan aplikasi kamera. Gambar diambil sepantas anda menekan butang pengatup. Secara keseluruhan peranti berfungsi dengan baik.

Kamera

Sensor 13 Megapixel yang sama digunakan pada N1 Mini. Seperti N1 asal kamera ini boleh diputarkan sebanyak 210 darjah bagi pengambilan foto selfie. Saiz mekanisme berputar ini lebih kecil berbanding N1 asal. Sebuah lagi perubahan yang dilakukan ialah N1 Mini hanya mempunyai sebuah flash LED bukan lagi Dwi-Flash.

Kelemahan utama N1 adalah kamera yang mempunyai masalah white balance serta dedahan berlebihan yang kronik. Pada N1 Mini majoriti masalah ini berjaya diselesaikan. Kualiti gambar juga kami sedari berjaya diperbaiki. Dari segi spesifikasi lain N1 Mini tidak mampu bertanding dengan N1 tetapi di dalam kemampuan mengambil gambar jelas sekali si kecil ini jauh lebih baik. Fungsi-fungsi tambahan juga diperkenalkan pada aplikasi kamera seperti fungsi mengambil gambar 50 Megapixel HD Picture yang diperkenalkan pada Find 7 disertakan pada N1 Mini. Dari segi antaramuka tiada perbezaan dilakukan. Apabila kamera diputarkan untuk mengambil gambar selfie, pilihan mod beautify yang boleh digunakan untuk mencantikkan wajah anda secara automatik muncul.

Kami mempunyai Find 7 dan N1 di makmal ujian dan kami rasakan adalah baik sekiranya perbezaan di antara 3 peranti Oppo ini lakukan. Ketiga-tiga peranti dilengkapi kamera dengan sensor sebesar 13 Megapixel. Di bawah ialah contoh-contoh gambar yang sempat kami ambil

Ujian pertama di dalam bangunan dengan pencahayaan yang agak malap.  Gambar yang diambil menggunakan Find 7 adalah yang paling tepat dengan keadaan sebenar. N1 Mini sedikit kekuningan manakala N1 mempunyai masalah tona warna merah jambu.

Ini ialah saiz sebenar gambar yang diambil dan mari lihat keperinciannya pula. Sekali lagi kualiti gambar Find 7 adalah yang terbaik. Ianya jauh lebih tajam dan masalah noise tidak berapa ketara jika dibandingkan dengan N1 dan N1 Mini. Sekali lagi N1 mini berjaya mengalahkan N1 di sini.

Gambar di bawah diambil ketika waktu senja. Perbezaan kualiti gambar tidak terlalu ketara di sini.

Ini pula gambar di dalam pusat membeli belah. Ini pula ujian kualiti warna pada gambar. Gambar yang diambil menggunakan N1 adalah lebih gelap berbanding gambar yang lain tetapi penghasilan warnanya adalah lebih menyerlah. Find 7 dan N1 Mini mengambil gambar yang hampir serupa dan lebih terang dari N1.

Gambar ini pula diambil di dalam keadaan terang pada waktu tengahari. Find 7 pada hemat kami mengambil gambar yang paling tajam diikuti oleh N1 Mini. N1 mempunyai masalah dedahan berlebihan pada kawasan terang. Lihat sahaja bahagian buku kiri atas yang terlalu terang.

Di dalam situasi terdapat banyak sumber cahaya pula Find 7 mengambil kualiti gambar yang terbaik. Jika anda lihat pencahayaan lebih seimbang berbanding N1 Mini dan N1. Pada N1 masalah dedahan berlebihan dan light blooming lebih ketara berbanding N1 Mini.

Kesimpulan

Secara keseluruhan N1 Mini mengambil gambar dengan kualiti yang lebih baik berbanding N1 asal. Masalah dedahan berlebihan dan white balance nampaknya berjaya diselesaikan pihak Oppo. Ketajaman gambar juga berjaya diperbaiki apabila gambar dilihat dengan lebih terperinci. Di samping itu fungsi HD PIcture yang tiada pada N1 asal disertakan pada Mini. Tetapi jelas dan nyata Find 7 mempunyai kemampuan optik terbaik diantara peranti Oppo yang diuji. Ini adalah sedikit aneh kerana kami difahamkan ketiga-tiga peranti menggunakan sensor kamera 13 Megapixel Sony yang sama.

Penanda Aras

Seperti yang kami katakan di awal ulasan, N1 Mini menggunakan pemproses 1.6 GHz empat teras Snapdragon 400 berbanding 1.7 GHz empat teras Snapdragon 600 pada N1 asal. Perubahan dari segi kelajuan pemproses nampak tidak ketara tetapi apabila ujian penanda aras dilakukan perbezaannya jelas kelihatan.  Markah yang dicatatkan meletakkan N1 Mini di antara Xperia T2 Ultra dan Motorola Moto G 2013  yang pernah kami ulas sebelum ini. Ketiga-tiga peranti menggunakan pemproses Snapdragon 400.


Bateri

Bateri sebesar 2140 mAh digunakan pada N1 Mini dan ini adalah kapasiti yang kecil bagi peranti berskrin 5″. Hayat peranti pada penggunaan ringan ialah sekitar 12 jam. Pada penggunaan sederhana ia mampu bertahan selama 7 jam 40 minit manakala pada penggunaan paling berat ia hanya bertahan selama 5 jam 58 minit. Ini bermakna jangka hayat penggunaan N1 Mini adalah jauh lebih rendah dari purata hayat penggunaan peranti yang kami ulas iaitu 9 jam pada penggunaan berat. Anda perlu memiliki sebuah power bank jika anda memiliki N1 Mini. Tidak seperti Oppo Find 7, sistem pengecasan pantas VOOC tidak disokong oleh N1 Mini. Masalah hayat bateri yang pendek ini sekurang-kurangnya dapat dikurangkan sekiranya N1 Mini mampu dicas dengan pantas. Malang sekali fungsi ini hanya wujuda pada Oppo Find 7 dan Samsung Galaxy Note 4 buat masa ini. Kami berharap fungsi pengecasan pantas akan menjadi fungsi yang akan wujud pada kesemua peranti pintar di masa hadapan. Jika teknologi kapasiti bateri tinggi dan kompak masih belum wujud, pengecasan pantas adalah jalan penyelesaian yang harus diambil oleh kesemua pengeluar peranti pintar.

Kesimpulan

Versi Mini sesebuah peranti biasanya mempunyai spesifikasi yang lebih rendah dari versi asal. Di dalam kes N1 Mini, pengurangan spesifikasi yang dilakukan dilakukan pada resolusi skrin, pemproses dan ketiadaan fungsi O Touch. Kami merasakan kehilangan fungsi O Touch tidak akan dirasai kerana pada N1 sendiri kami tidak merasakan ianya fungsi yang mesra pengguna ataupun perlu. Pemproses diubah dari 1.7 GHz empat teras Snapdragon 600 ke 1.6GHz empat teras Snapdragon 400. Di atas kertas pengurangan kelajuan pemproses tidak nampak ketara tetapi apabila ujian penanda aras dilakukan, perbezaan kemampuan dua peranti ini adalah ketara. Sungguhpun begitu pada penggunaan seharian kami tidak dapat merasakan perbezaannya. Kedua-dua peranti tidak mempunyai masalah lengah masa dan mampu digunakan dengan lancar.

Yang menakjubkan bagi kami ialah dari segi antaramuka Color OS 1.4.0i. Versi Color OS N1 Mini adalah lebih terkini dari yang digunakan pada N1 dan FInd 7. Sehingga hari ini kami masih belum menerima kemasan 1.4.0i untuk dua peranti yang berspesifikasi lebih tinggi dari N1 Mini. Perbezaan Color OS ini memberikan fungsi yang tidak ada pada N1 asal seperti fungsi mengambil gambar HD Picture (50 Megapixel) dan fungsi Exlcusive Space yang boleh dinyahaktifkan oleh pengguna. Kemampuan kamera juga secara keseluruhan lebih baik. Masalah white balance dan dedahan berlebihan yang menghantui N1 berjaya dikurangkan pada N1 Mini.

Dari segi negatif pula peranti ini mempunyai hayat penggunaan yang pendek. Ia hanya bertahan hampir 6 jam pada penggunaan paling berat dan hampir 8 jam pada penggunaan sederhana. Bagi kami ketahanan bateri adalah sangat penting dan hayat bateri N1 Mini adalah sangat mengecewakan

Di akhir hari adakah N1 Mini berbaloi untuk anda miliki? Dengan harga RM1398 ianya agak mahal untuk peranti kelas pertengahan pada pasaran sekarang. Terdapat peranti dengan spesifikasi lebih baik dijual pada harga yang jauh lebih murah. Sungguhpun N1 Mini adalah peranti yang baik, kelemahan dari segi spesifikasi, bateri dan harga menyukarkan kami untuk mengesyorkannya kepada anda.

 

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan dan kemasan yang baik. Saiznya yang lebih kecil berbanding N1 juga memudahkan penggunaan sebelah tangan.
  • Kemampuan kamera yang lebih baik berbanding N1.
  • Versi Color OS 1.4.0i yang terkini. Lebih terkini dari yang ada pada Oppo N1 dan Find 7 yang kedua-duanya masih belum mempunyai kemasan untuk versi ini.
  • Sokongan gerakan jari untuk melancarkan pelbagai aplikasi. Gerakan-gerakan jari ini boleh ditetapkan sendiri oleh pengguna mengikut keperluan
  • Kamera berputar membolehkan anda mengambil selfie pada resolusi lebih tinggi dan sokongan flash bahagian hadapan
KONTRA dan Kekurangan
  • Hayat bateri yang terlalu pendek
  • Masih Android Jelly Bean

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd