Ulasan: LG MiniBeam PG60G – Projektor Mini Dengan Sokongan Bateri

Ulasan: LG MiniBeam PG60G – Projektor Mini Dengan Sokongan Bateri

Diterbitkan pada Ogos 30, 2014 oleh .

DSC00598

LG MiniBeam PG60G
Dimensi 60 (L) x 125 (D) x 125 (T) mm
Berat 670 gram + 420 gram (bateri)
Resolusi WXGA (1280 x 800)
Ratio Kontras 100,000:1
Kecerahan 500 ANSI
Jangka Hayat 30,000 jam
Sambungan HDMI, RGB, MHL, USB, WiDi
Ketahanan Bateri Sehingga 2 jam

Salah satu kesukaran bagi yang gemar melakukan mesyuarat di luar ataupun ditempat-tempat awam adalah masalah untuk mencari soket elektrik. Beberapa alatan seperti komputer riba mungkin tidak menjadi masalah namun dengan jumlah ahli mesyuarat yang ramai, adakalanya anda perlu menggunakan projektor untuk membentangkan beberapa perkara penting. Di situ projektor dengan kuasa bateri mendapatkan tempat di pasaran pengguna yang memerlukan kemudahan mobiliti seperti ini.

Lambakan projektor menggunakan kuasa bateri boleh dilihat di laman lelong.com.my sendiri namun tidak banyak yang mementingkan dari segi kualiti dan spesifikasi. Ada yang hadir dengan resolusi serendah 320 x 240 yang sememangnya tidak mampu memaparkan kandungan dengan jelas pada resolusi seperti ini. Tidak cukup dengan itu, projektor berkuasa bateri seperti di laman tersebut turut mempunyai jangka hayat yang pendek selain menawarkan kadar keterangan dan ratio kontras yang agak rendah.

LG MiniBeam PG60G tampil dengan sebuah projektor berspesifikasi menarik disamping menawarkan projektor bersaiz mini yang mudah dibawa oleh pengguna. Dengan kuasa bateri yang dibekalkan, ia mungkin membantu anda dalam mengadakan pembentangan ketika berada di tempat-tempat awam atau di luar rumah. Dengan melihat fungsi dan spesifikasi yang ditawarkan, ia dilihat satu projektor yang memenuhi keperluan pengguna masa kini namun sejauh manakah ia beroperasi? Ikuti ulasan kami di bawah.

DSC00557

Rekabentuk

LG MiniBeam PG60G hadir dengan rekaan bersaiz mini yang mampu menarik perhatian orang ramai apabila melihatnya. Ia hadir dengan lensa yang besar pada bahagian hadapan menjadikan ia sedikit unik daripada kebiasaan projektor di pasaran. Dari segi dimensi, ia hadir dengan dimensi berukuran 60 (L) x 125 (D) x 125 (T) mm yang boleh dikatakan hanya mengambil ruang sebesar tapak tangan. Bercakap mengenai berat, projektor ini hanya seberat 670 gram (tambahan 420 gram dengan bateri) yang bagi saya tidak membebankan pengguna apabila membawanya di luar.

DSC02148Dari segi rekabentuk, pada bahagian atas menempatkan butang kapasitif berlampu yang membolehkan anda mengawal tetapan pada projektor ini tidak kira di tempat yang terang ataupun gelap. Pada bahagian belakang menempatkan beberapa port sambungan utama dan juga terdapat lubang keselamatan Kensington Lock yang membantu anda mengunci projektor daripada dibawa lari oleh individu yang tidak dikenali.

Fungsi

Secara kasar, LG MiniBeam PG60G dilihat menawarkan fungsi yang agak baik secara keseluruhannya. Dari segi jangka hayat, projektor ini mampu bertahan selama 30,000 jam iaitu bersamaan dengan penggunaan 4 jam sehari dalam masa 20 tahun. Dari segi keperluan media, ia turut hadir dengan speaker 3W dengan penataan bunyi Dolby Digital secara terbina sekaligus memudahkan anda menyalurkan bunyi daripada peranti tanpa perlu membawa speaker tambahan. Turut disediakan bersama adalah alat kawalan jauh yang memudahkan anda mengawal beberapa tetapan seperti volume dan mengawal fail media daripada storan USB yang disambungkan pada projektor ini.

DSC00538

Port Sambungan

Dari segi sambungan, saya boleh katakan LG MiniBeam PG60G antara projektor yang mempunyai sambungan yang cemerlang dan terlengkap setakat ini. Ia hadir dengan port HDMI dengan sambungan MHL, sekaligus memudahkan anda menyambung telefon pintar anda ke projektor ini. Sekiranya anda tidak gemar menggunakan wayar, sambungan WiDi tanpa wayar boleh membantu anda menyambungkan ke peranti yang menyokong Miracast atau Intel Wireless Display secara terbina.

DSC02148Satu perkara menarik yang jarang dilihat berbanding projektor lain di pasaran adalah kehadiran port USB yang didatangkan secara terbina. Perkara ini amat memudahkan pengguna apabila ingin membentangkan gambar, video, dan dokumen dengan hanya menggunakan storan USB.

Beberapa sambungan legasi seperti port VGA turut tersedia bagi menyambungkan komputer riba ke projektor ini. Sambungan Audio Video (AV) juga turut hadir untuk menyokong sejumlah peranti yang menggunakan input AV seperti pemain VCD, DVD, dan permainan konsol generasi lama. Sekiranya anda mempunyai speaker tambahan, projektor ini turut menyediakan lubang 3.5 mm earphone jack sebagai output untuk bunyi dan audio.

Kualiti Gambar

LG MiniBeam PG60G hadir dengan parapan beresolusi WXGA (1280 x 800) yang boleh dikatakan satu resolusi yang agak besar bagi projektor mini yang berkuasa bateri. Dari segi kekuatan kecerahan, ia hadir dengan kecerahan 500 ANSI yang saya kira tidak menjadi masalah apabila diletakkan di dalam ruang yang agak terang. Hasil paparan daripada projektor ini masih boleh dilihat dengan jelas di dalam bilik dengan lampu yang terbuka.

Dari segi kualiti gambar yang dipersembahkan, kadar ratio kontras 100,000:1 sememangnya menawan selain mampu memaparkan warna yang terang pada penglihatan mata. Saya boleh katakan kawalan warna projektor LG MiniBeam PG60G ini sangat baik disamping memberikan kejelasan warna yang menarik lebih-lebih lagi ia digunakan di tempat yang gelap.

Bateri

Salah satu aspek yang menjadi tarikan LG MiniBeam PG60G adalah kehadiran bateri yang boleh ditanggalkan yang juga berfungsi sebagai cradle. Apabila bateri ini dipasangkan, ia membolehkan projektor berdiri pada posisi menegak selain menerima tenaga untuk dicaj padanya. Namun bateri sebesar 5200 mAh pada LG MiniBeam PG60G ini dilihat hanya mampu bertahan sehingga 2 jam dan saya kira ini amat singkat apabila ia digunakan untuk tayangan filem di luar rumah. Tapi sekiranya ia digunakan untuk tujuan mesyuarat atau pembentangan, ia suatu jangka masa yang amat memadai bagi penggunaan sesebuah projektor.

…SEBUAH PROJEKTOR YANG MESRA MOBILITI DENGAN MENAWARKAN SAMBUNGAN TERKINI, SOKONGAN BATERI, DALAM BENTUK SAIZ MINI.

Rumusan

LG MiniBeam PG60G dilihat sebuah projektor yang berkuasa kerana hadir dengan beberapa fungsi yang terkini selain menawarkan spesifikasi standard seperti projektor bersaiz biasa. Kepelbagaian port sambungan seperti HDMI, MHL, dan Wireless Display (WiDi) memudahkan anda untuk membuatkan pembentangan terus daripada telefon atau tablet tanpa perlu lagi membawa komputer riba di sisi. Dengan kehadiran port USB secara terbina, ia memudahkan anda memaparkan kandungan seperti gambar, video, dan dokumen secara terus melalui storan USB.

Saya juga sukakan rekaannya yang bersaiz mini dan secara tidak langsung ia kurang membebankan saya berbanding projektor bersaiz besar yang sememangnya agak berat. Ia turut dibekalkan dengan beg khas yang menyerupai beg tangan yang mana orang lain tidak akan menyangka yang anda sedang membawa projektor di dalamnya. Selain daripada saiz, kecantikan gambar dan output yang dipersembahkan daripada projektor ini turut menjadi sebab mengapa saya sukakan projektor LG MiniBeam LG60G ini.

DSC00578

Sungguhpun begitu, saya merasakan dengan harga RM2199 agak sedikit mahal walaupun fungsi yang ditawarkan sangat menarik perhatian. Selain daripada harga, ketahanan bateri yang mampu bertahan selama 2 jam turut menjadi kontra bagi projektor ini dan berharap pihak LG dapat membangunkan lagi projektor dengan jangka hayat bateri yang lebih lama.

Pro
  • Hadir dengan kepelbagaian sambungan terkini seperti HDMI, MHL, USB, dan Wireless Display (WiDi)
  • Mudah dibawa dan hadir dengan beg khas seperti beg tangan
  • Kualiti gambar yang dipersembahkan sangat cantik dan mengagumkan
  • Didatangkan dengan pembaca dokumen Office secara terbina melalui pembacaan fail daripada storan USB
Kontra
  • Harga yang agak mahal bagi pengguna biasa
  • Bateri hanya mampu bertahan sehingga 2 jam

Apa pun, sekiranya anda aktif dalam membuat pembentangan di luar ataupun mengadakan mesyuarat di tempat-tempat awam, LG MiniBeam PG60G adalah projektor yang boleh anda miliki disamping menawarkan fungsi dan spesifikasi yang menarik bagi sebuah projektor mini. Dengan tawaran saiz yang mudah-alih, sambungan terkini, serta hadir dengan sokongan bateri, ia merupakan projektor yang sememangnya mampu memenuhi keperluan mobiliti anda.

Final Score


TIPS & ULASAN