Apple Dilaporkan Bekerjasama Dengan Visa Dan MasterCard Untuk Pembayaran Melalui iPhone

Apple Dilaporkan Bekerjasama Dengan Visa Dan MasterCard Untuk Pembayaran Melalui iPhone

Diterbitkan pada Sep 1, 2014 oleh .

iPhone Wallet?Apple sedia dilaporkan bakal mengintegrasikan sokongan NFC pada telefon pintar iPhone 6 akan datang mereka, dan kini beberapa maklumat lanjut hadir memperlihatkan perkara tersebut akan direalisasikan.

Menurut laporan daripada Bloomberg, pihak Apple dikatakan akan bekerjasama dengan beberapa pihak untuk merealisasikan pembayaran menggunakan iPhone, dimana antara yang terlibat adalah termasuk Visa, MasterCard dan juga American Express.

Untuk menjayakan perkara ini, berkemungkinan kita akan lihat sokongan TouchID digunakan bersama-sama dengan sokongan NFC, sekaligus membolehkan pengguna membuat pembayaran melalui telefon pintar mereka.

Dengan memfokuskan kepada pembayaran menggunakan peranti mudah-alih ini juga, ia sekaligus dijangka akan terus memperluaskan penjanaan pendapatan menggunakan sokongan iTunes yang disediakan oleh Apple.

Memandangkan perkara yang dilakukan Apple sering menjadi tumpuan dan memberikan kesan terhadap industri, mungkin pengenalan perkara ini turut akan memperuaskan penggunaan pembayaran menggunakan peranti mudah-alih.

Sebelum ini, pihak Samsung bersama-sama Galaxy S5 telah memperkenalkan sokongan pembayaran PayPal, dan disahkan menggunakan sokongan pengimbas cap jari. Namun, ia hanya terhad kepada beberapa buah negara sahaja ketika itu. Berkemungkinan pihak Apple juga turut akan memperkenalkan ia di beberapa buah negara sahaja ketika pengenalan awalnya.


TIPS & ULASAN