Carian
Perkhidmatan Uber Diharamkan Di Seluruh Jerman Buat Sementara Waktu
September 2, 2014 • Ikhwan Nazri

Perkhidmatan Uber yang beroperasi di peringkat global secara amnya merupakan salah satu perkhidmatan yang membolehkan pengguna membuat tempahan pemandu ke sesuatu lokasi menggunakan peranti mereka. Minggu lalu, SPAD menyatakan yang Uber perlu mematuhi undang-undang di Malaysia atau akan dikenakan tindakan undang-undang. Hari ini pula Mahkamah di Frankfurt telah membuat keputusan untuk mengenakan mengharamkan perkhidmatan Uber di seluruh Jerman buat masa ini.

Mahkamah tersebut telah menyatakan bahawa tindakan menghentikan operasi buat seketika ini dikenakan kerana perkhidmatan Uber adalah tidak sah dari segi undang-undang kerana pemandunya tidak mempunyai permit dan insurans yang berkaitan. Uber yang akan dibicarakan kerana kes ini juga dikatakan akan membuat rayuan terhadap injunksi awal ini. Mahkamah juga menetapkan semasa injunksi ini dikenakan, setiap pemandu Uber yang ditemui membawa penumpang akan didenda sehingga 250,000 Euro dan pengarah Uber juga berdepan hukuman penjara. Jurucakap Uber di Jerman dipetik berkata, mereka akan tetap meneruskan perkhidmatan seperti biasa kerana proses rayuan terhadap injunksi ini masih sedang berjalan.

Ini bukanlah kali yang pertama Uber menghadapi injunksi ke atas perkhidmatannya kerana mereka juga pernah disekat di bandar Jerman yang lain iaitu Hamburg dan Berlin.

Selain Jerman, Uber juga dikatakan menghadapi masalah berkaitan undang-undang di negara lain antaranya United Kingdom, Australia dan juga Indonesia. Kebanyakan kes mereka adalah berkaitan dengan keselamatan penumpang di samping tekanan dari pemandu teksi tempatan di setiap negara yang sedikit sebanyak dikatakan tergugat dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

Komen