Amanz Di IFA 2014 – Apa Yang Bakal Diumumkan Dan Dinantikan Ramai?

Amanz Di IFA 2014 – Apa Yang Bakal Diumumkan Dan Dinantikan Ramai?

Diterbitkan pada Sep 3, 2014 oleh .

Acara IFA 2014 akan diadakan bermula dari hari ini sehingga ke penghujung minggu ini, dimana ia bakal menyaksikan beberapa peranti baru diumumkan – bukan sahaja dari segi telefon pintar, tetapi turut melibatkan tablet dan juga jam tangan pintar. Pelbagai nama besar akan menyertai acara tahunan ini termasuk Samsung, Sony, Asus dan sebagainya.

Samsung

Samsung pada acara ini bakal memperkenalkan phablet mereka generasi ke-4, iaitu Galaxy Note 4. Peranti ini boleh dikatakan merupakan salah satu peranti yang dinantikan ramai, dan mempunyai peminatnya yang tersendiri. Galaxy Note 4 dikatakan akan membawakan skrin bersaiz sekitar 5.7-inci dengan resolusi 1440×2560 pixel, dan dilengkapi dengan pelbagai spesifikasi terkini – termasuk dijangka akan menggunakan Snapdragon 805.

Galaxy Note 4

Seperti biasa, kita akan dapat melihat Samsung memperkenalkan pelbagai fungsi tambahan kepada peranti tersebut yang akan dilengkapi dengan sistem operasi Android terkini. Galaxy Note 4 juga dijangka akan menggunakan rekaan peranti baru – berbeza dengan Galaxy S5 sebelum ini.

Selain daripada Galaxy Note 4, pihak Samsung turut dilihat akan memperkenalkan beberapa peranti lain, termasuk salah satunya adalah Samsung Gear VR – yang mana merupakan peranti yang dipakai pada kepala dan digunakan untuk mengakses beberapa aplikasi khusus dalam bentuk realiti-maya.

Samsung Gear VR

Peranti yang telah diumumkan dan akan diperlihatkan pada acara tersebut, Gear S juga dijangka akan mencuri tumpuan – apatah lagi memandangkan ia menyertakan sokongan kad-SIM terbina pada jam tangan pintar.

Sony

Selain daripada Samsung, pihak Sony turut mempunyai beberapa produk yang akan diumumkan pada acara IFA 2014 ini. Pada tahun lepas, mereka telah memperkenalkan Xperia Z1, dan untuk tahun ini, mereka dijangka akan mengumumkan Xperia Z3. Selain daripaa telefon pintar sahaja, pihak Sony dijangka akan memperkenalkan pelbagai peranti dibawah keluarga Xperia Z3, termasuk versi telefon bersaiz mini dinamakan Xperia Z3 Compact, dan juga sebuah tablet bersaiz sekitar 8-inci yang dinamakan sebagai Xperia Z3 Tablet Compact.

Sony Z3 Tablet Compact

Sony dengan fokus terhadap kamera, mereka juga dijangka akan memperlihatkan sebuah lagi lensa-kamera baru pada acara berkenaan, dimana ia dikenali sebagai QX1 dan akan membawakan sokongan lensa boleh-ubah, lebih kurang sama seperti yang dilakukan pada kamera DSLR hari ini.

SmartShot-QX1-mit-Xperia-von-Sony_04-640x447

Disamping itu, dibawah keluarga SmartWatch pula, Sony dijangka akan memperkenalkan sebuah jam tangan pintar baru, dikenali sebagai SmartWatch 3, selain turut menyertakan peranti memfokuskan kecergasan yang mana juga merupakan kemaskini kepada keluarga Smartband sebelum ini.

Asus

Asus dengan fokus mereka terhadap peranti mudah-alih, turut tidak ingin ketinggalan pada acara IFA 2014, dimana mereka akan memfokuskan kepada jam tangan pintar pertama daripada mereka berasaskan Android Wear, yang mana dikenali sebagai Asus ZenWatch.

Asus Zenwatch

Pihak Asus telah sedia mengatakan yang mana ia akan ditawarkan pada harga lebih rendah daripada beberapa pesaing lain, disamping akan menawarkan rekaan yang agak menarik untuknya.

Selain daripada jam tangan pintar, mungkin juga kita akan dapat melihat beberapa tablet yang telah diumumkan Asus sebelum ini dipertontonkan pada acara IFA 2014 ini.

Huawei

Salah satu gergasi peranti mudah-alih dari China adalah Huawei, dan pada acara ini mereka dijangka akan memperkenalkan salah satu peranti baru – dikatakan ramai sebagai Ascend Mate 7. Pihak Huawei sendiri telah hadir dengan beberapa teaser untuknya, dan mengikut spekulasi ramai, ia akan membawakan bahagian tepi skrin yang amat nipis, disamping berkemungkinan dilengkapi dengan pengimbas cap jari untuk tujuan pembayaran.

Lain-Lain

Selain daripada Samsung, Sony, Asus dan Huawei, beberapa jenama lain turut bakal memperkenalkan peranti baru mereka, termasuk antaranya Microsoft dengan peranti Lumia baru mereka yang dijangka akan memfokuskan terhadap selfie. Lenovo turut bakal memperkenalkan telefon pintar mereka yang baru, dan LG yang akan mempertontonkan peranti LG G3 Stylus mereka. Motorola turut dijangka akan memperkenalkan telefon pintar baru mereka – kemaskini kepada keluarga Moto G sebelum ini.

Seperti biasa, kami akan membawakan liputan secara langsung dan berperingkat daripada pelancaran dan pengumuman produk ini kepada anda.


TIPS & ULASAN