Apple Mengesahkan Beberapa Akaun Selebriti Digodam

Apple Mengesahkan Beberapa Akaun Selebriti Digodam

Diterbitkan pada Sep 3, 2014 oleh .

iCloud BetaLanjutan daripada pelbagai laporan mengaitkan sekuriti iCloud dengan ketirisan pelbagai gambar peribadi selebriti, hari ini pihak Apple mengeluarkan komen rasmi, mengatakan ia merupakan serangan yang dirancang dan disasarkan kepada beberapa akaun selebiriti.

Apple mengatakan yang mana selepas lebih 40 jam menyiasat berkenaan perkara tersebut, mereka mendapati sesetengah akaun selebriti telah menjadi sasaran dengan menggunakan nama pengguna, kata laluan dan soalan sekuriti – lebih kurang seperti serangan berbentuk phishing ataupun berbentuk brute-force.

Apa pun, Apple menekankan yang mana ia tidak melibatkan sebarang kelemahan pada sistem iCloud atau Find My iPhone. Apple turut mengatakan yang mana pengguna mungkin boleh mengaktifkan sokongan pengesahan dwi-faktor untuk mengelakkan kejadian seperti ini berlaku pada akaun mereka.

Perkara melibatkan sekuriti ini mungkin agak malang bagi Apple, memandangkan mereka dijangka akan memperkenalkan beberapa perkhidmatan baru pada acara iPhone yang dijadualkan pada minggu hadapan – termasuk sokongan pembayaran mudah-alih.

Sebelum ini, pada penghujung minggu lepas, beberapa gambar peribadi selebriti popular telah tertiris ke arena web, dan sistem iCloud dikaitkan dengan perkara tersebut.

Apple mengatakan mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengenal-pasti mereka yang terlibat disebalik kejadian godaman ini.


TIPS & ULASAN