Seperti mana yang dinantikan sejak beberapa bulan lepas, hari ini Samsung secara rasminya telah memperkenalkan telefon pintar dibawah keluarga phablet mereka yang terbaru, iaitu Samsung Galaxy Note 4.
Samsung Galaxy Note 4 dilihat memfokuskan kepada beberapa perkara, termasuk penggunaan rekabentuk baru, dan juga teknologi S-Pen yang ditambah-baik lagi. Galaxy Note 4 hadir dengan sokongan LTE Kategori 6 untuk membolehkan pengguna menikmati rangkaian internet berkelajuan tinggi bersama-sama dengannya.
Dari segi spesifikasi, ia hadir dengan skrin 5.7-inci, cip pemprosesan dalam pilihan empat-teras 2.7GHz atau lapan-teras, ruangan storan 32GB, memori 3GB RAM, dan bateri berkapasiti 3220mAh.
Dari segi rekaan, pihak Samsung kini menggunakan bingkai berasaskan logam, selain turut menyertakan 2.5D Glass yang mana membuatkan ia kini lebih tahan lasak berbanding versi sebelum ini. Untuk skrin kini ia menggunakan Super AMOLED Quad HD yang membawakan resolusi pada kadar 2560×1440 pixel, membolehkan pengguna menikmati gambar dengan lebih jelas berbanding peranti menggunakan Quad HD LCD.
Samsung mengatakan ia akan hadir dalam empat warna, iaitu hitam, putih, emas, dan juga merah jambu. Dari segi rekabentuk antaramuka juga, ia kini dilihat membawakan sedikit kemaskini, dimana pengguna disediakan dengan sokongan widget dengan latar lutsinar. Samsung turut bekerjasama dengan beberapa nama besar seperti Yahoo untuk menggunakan gambar latar pada lockscreen
Dari segi pembaharuan fungsi, pihak Samsung dilihat kini membawakan sokongan multi-tasking yang baru, dimana pengguna boleh mengubah sesuatu tetingkap dengan mudah menggunakan S-Pen, dan membuat lebih banyak tugasan dengan pantas.
Beberapa fungsi baru lain yang turut hadir adalah seperti Snap Note, yang mana membolehkan pengguna merakamkan gambar teks, dan kemudian mengubah ia kepada bentuk digital dan memudahkan proses penyuntingan. Perkara ini dilihat sebagai salah satu fungsi tambah untuk sokongan S-Pen.
Dari segi kamera pula, ia hadir dengan kamera belakang 16-megapixel OIS, dan juga kamera hadapan 3.7-megapixel F1.9. Samsung mengatakan ia kini merakamkan gambar menggunakan kamera hadapan dengan lebih 60% cahaya berbanding kebiasaan, disamping mengintegrasikan ia dengan sokongan sensor denyutan jantung pada bahagian belakang dalam memudahkan rakaman selfie. Disamping itu, fungsi Wide Selfie turut disertakan untuk memudahkan pengguna merakamkan gambar panorama menggunakan kamera hadapan.
Untuk tujuan pengecasan pula, Samsung menyertakan sokongan pengecasan pantas, dimana mereka mengatakan ia boleh dicas sepantas sehingga 50% dalam masa 30 minit. Samsung turut mengatakan ia kini menggunakan tenaga yang rendah untuk membolehkan pengguna menggunakan ia untuk masa yang lebih lama.
Bagi mereka yang sering menggunakan sokongan rakaman suara pula, Samsung turut menyertakan sokongan pengecaman suara dengan tambahan mikrofon, selain turut menyertakan kebolehan Noise Cancellation ketika menggunakan telefon dalam bentuk speaker-phone
Samsung Galaxy Note 4 ini bakal ditawarkan di pasaran bermula bulan Oktober ini, dimana ia bakal hadir dengan beberapa aksesori khusus untuknya turut bakal diperkenalkan bersama-sama peranti ini.