Polis New York Diwajibkan Menghadiri Kelas Penggunaan Twitter

Polis New York Diwajibkan Menghadiri Kelas Penggunaan Twitter

Diterbitkan pada Sep 4, 2014 oleh .

Di Malaysia gempar hujung minggu yang lalu apabila ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (@Kbab51) mengarahkan seorang pengguna Twitter disiasat kerana menghina beliau. Tindakan beliau ini menjadi bualan media sosial kerana ia boleh mengakibatkan setiap penghinaan di media sosial boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya mangsa mengadu. Di New York pula kes yang berlainan berlaku sehingga mengakibatkan anggota polis berpangkat tinggi kini diwajibkan menghadiri kelas penggunaan Twitter dengan betul. Di New York beberapa balai polis mempunyai akaun Twitter rasmi mereka bagi merapatkan mereka dengan komuniti setempat. Akaun-akaun ini dikelolakan oleh anggota polis berpangkat tinggi yang sudah berusia dan didapati tidak mahir menggunakan khidmat laman sosial ini.

Akibatnya berlaku beberapa insiden memalukan seperti seorang anggota polis membuat jenaka mengenai kematian seorang wanita di stesen keretapi bawah tanah. Kapten Thomas Harnisch menulis “biar saya membuat tekaan, ini semua salah pemandu bukan?“. Selain daripada jenaka tidak sensitif, polis New York juga menjadi bahan jenaka apabila memulakan hashtag #MyNYPD April lalu yang mengajak orang ramai berkongsi gambar mereka dengan anggota polis. Hashtag ini kemudian digunakan oleh warga New York untuk memaparkan gambar anggota polis bandar mereka yang menggunakan kekerasan berlebihan ketika bertugas. Arahan menghadiri kelas khas Twitter ini diharap dapat memastikan dua kejadian memalukan seperti di atas tidak akan berlaku di masa hadapan.

nypd-mynypd-hashtag-fail-pr-nightmare-brutality-police-new-york-citizens-public-enemy-2

 

Di Malaysia kami rasakan akaun rasmi Polis Diraja Malaysa (@PDRMsia) adalah sangat profesional dan tidak pernah melakukan sebarang kesilapan memalukan. Jelas sekali dari segi penggunaan media sosial, PDRM jauh di hadapan berbanding polis New York. Ini adalah sesuatu yang boleh kita banggakan. Tetapi secara peribadi kami merasakan beberapa ahli politik berusia di Malaysia mungkin wajib menghadiri “sekolah Twitter” kerana memuat naik status yang kurang sensitif. Contohnya seorang ahli politik Sabah yang terpaksa memohon maaf kepada Jerman kerana menaip “Heil Hitler”.

 

Sumber NY Post

 


TIPS & ULASAN