Katalog IKEA 2015 Dengan Augmented Reality – Hadir Dengan Promosi Seumpama Apple iPad

Katalog IKEA 2015 Dengan Augmented Reality – Hadir Dengan Promosi Seumpama Apple iPad

Diterbitkan pada Sep 5, 2014 oleh .

Sekiranya anda peminat tegar IKEA, katalog tahunan mereka yang akan sentiasa diperoleh pada bulan September semestinya dinantikan anda. Seperti seolah-olah kebetulan, IKEA pada tahun ini menghantarkan katalog 2015 kepada kami berhampiran dengan tarikh acara pengumuman Apple berkenaan iPhone baru mereka. Katalog tersebut malah hadir dalam bungkusan seakan-akan iPad dan turut menyatakan kami antara penguji tahap beta untuknya.

Promosi seumpama Apple bukanlah sesuatu yang baru dimana Lenovo baru-baru ini membuat pengumuman berkenaan Lenovo Vibe X2 dengan jemputan hampir sama dengan jemputan Apple Keynote. KitKat juga tahun lepas hadir dengan iklan video seumpama Apple bagi mempromosi Android KitKat 4.4. Kini IKEA selain dari bungkusan katalog seakan-akan iPad, turut hadir dengan video penggunaan katalog mereka.

Berbeza dengan tahun lepas, katalog 2015 turut membawakan lebih banyak model perabot yang boleh dilihat secara augmented reality dan boleh disesuaikan dengan suasana rumah anda. Ini sekaligus memudahkan pengguna untuk menilai kesesuaian sesuatu perabot tersebut. Katalog tahun ini juga lebih besar berbanding katalog tahun terdahulu, berkemungkinan ada kaitan dengan model-model perabot secara augmented reality kerana katalog yang sama juga menjadi penanda untuk fungsi tersebut.

Anda boleh melayari katalog ini secara atas talian di laman rasmi IKEA Malaysia pada 11 September kelak.


TIPS & ULASAN