IFA 2014 : Sony Xperia Z3 – Bateri Bertahan Sehingga 2 Hari, Kalis Air, Kamera 20.7MP

IFA 2014 : Sony Xperia Z3 – Bateri Bertahan Sehingga 2 Hari, Kalis Air, Kamera 20.7MP

Diterbitkan pada Sep 7, 2014 oleh .

Bersempena dengan IFA 2014, pihak Sony telah hadir dengan kemaskini kepada keluarga telefon pintar mereka, dimana mereka telah memperkenalkan Sony Xperia Z3. Xperia Z3 merupakan kemaskini kepada keluarga Xperia Z2 sebelum ini, dan kini hadir dengan beberapa kemaskini kecil padanya, termasuk ditawarkan dalam variasi warna yang baru.

Sony Xperia Z3

Kemaskini Kecil Pada Rekabentuk
Sony Xperia Z3
Cip Pemprosesan 2.5Ghz Snapdragon 801/td>
Memori 3GB RAM
Storan 16GB + mikroSD
Kamera Belakang 20.7-megapixel + Exmor-R
Kamera Depan 2.2-megapixel
Skrin 5.2-inci
Rangkaian 4G LTE
Sistem Android 4.4.4
Bateri 3100mAh

Dari segi rekabentuk, Sony mengekalkan rekaan omnibalance mereka, disamping turut membawakan butang kuasa ikonik mereka.

Peranti ini mengekalkan penggunaan kalis air padanya, tetapi masih dilengkapi dengan penutup – dan bukannya terbuka seperti pada Butterfly 2 daripada HTC.

Secara keseluruhan, rekaannya kini lebih membulat pada bahagian tepi, sekaligus menjadikan ia lebih mudah untuk dipegang pada tangan berbanding Xperia Z1 atau Z2 sebelum ini.

Disamping itu, Xperia Z3 dilihat hadir dengan dua warna baru – termasuk warna tembaga yang kelihatan agak menarik untuk dilihat.

Secara kasar, spesifikasi yang disertakan pada peranti ini tidak begitu berbeza, tetapi pihak Sony membuat beberapa pengoptimasian pada perisian, dan turut menyertakan sokongan penstabilan rakaman video untuk Xperia Z3. Kadar sensitiviti ISO pada kamera juga turut dipertingkatkan melalui sensor Exmor RS yang dikemaskini oleh Sony ini.

Rekaan antaramuka masih kekal seperti biasa, dan perkara ini mungkin memudahkan pengguna peranti Xperia untuk membiasakan diri dengan peranti baru Sony ini.

Bateri Bertahan Sehingga 2 Hari

Bersama-sama dengan pengoptimasian perisian mereka, pihak Sony turut menyertakan masa penggunaan bateri yang lebih lama pada Xperia Z3 ini.

Jikalau ramai perasan, dari segi spesifikasi, Xperia Z3 hanya menyertakan bateri berkapasiti 3100mAh, berbanding Xperia Z2 yang membawakan bateri berkapasiti 3200mAh. Namun, dari segi masa bertahan bateri, pihak Sony berjaya mengoptimasikan penggunaannya, dan kini ia menawarkan masa sehingga 2 hari, dan dengan mengaktifkan mod penjimat bateri, pengguna boleh menikmati masa penggunaan bateri sehingga 5 hari.

Bateri Sony

Sama ada ia akan memberi kesan pada penggunaan biasa ataupun sebaliknya tidak diketahui lagi, dan mungkin kita perlu nantikan sehingga ia dilancarkan di Malaysia supaya dapat mengujinya sendiri.

Kebolehan Memainkan PlayStation 4 Secara Remote Play

Disamping itu, salah satu perkara baru yang turut disertakan pada Xperia Z3 adalah sokongan Remote Play untuk PlayStation 4, dimana menggunakannya pengguna boleh memainkan permainan PlayStation 4 terus pada Xperia Z3 mereka, tanpa perlu duduk dihadapan televisyen.

Sony Remote Play

Ia mungkin tidak memberikan begitu banyak kesan kepada pengguna yang tidak mempunyai konsol daripada Sony tersebut, tetapi ia agak menarik untuk melihat pihak Sony mula mengambil serius untuk integrasi antara penawaran perkhidmatan mereka ke peranti mudah-alih.

Penutup

Dengan kemaskini pantas daripada Sony untuk setiap 6 bulan, ia mungkin membuatkan para pengguna agak sukar untuk membuat pemilihan peranti. Apa pun, dari segi positifnya, kini dengan pengenalan Xperia Z3, pengguna dapat memiliki peranti Xperia Z2 pada harga sedikit murah – dan turut menikmati pelbagai fungsi dan penawaran Sony melaluinya.

Ia tidak diketahui lagi bilakah Sony akan menjualnya untuk pasaran Malaysia, dan mungkin kita akan dapat melihatnya dijual di pasaran sekitar Oktober atau November tahun ini.

Baca : Perbandingan Spesifikasi Xperia Z2 dan Xperia Z3

TIPS & ULASAN