Dengan lebih ramai yang memuat-naik video ke halaman Facebook dari hari ke hari, kini pihak Facebook turut sama mula memperlihatkan jumlah tontonan untuk sesuatu video secara umum, sekaligus membolehkan pengguna mengetahui mengenai populariti sesuatu video yang dikongsikan.
Pihak Facebook turut mengatakan yang mana lebih 65% tontonan berlaku menggunakan peranti mudah-alih, dan mereka kini turut hadir dengan beberapa pengoptimasian video untuk peranti mudah-alih.
Selain memperlihatkan jumlah tontonan, kini Facebook turut memperlihatkan video-video berkaitan dan menarik untuk ditonton pada mudah-alih, membolehkan pengguna menonton video seterusnya selepas habis menonton sesuatu video pada NewsFeed.
Disamping itu, sokongan memainkan video secara automatik kini telah diperluaskan kepada lebih ramai pengguna, dimana pengguna akan dapat melihat video dimainkan tanpa suara apabila mereka menatal di NewsFeed, dan suara akan diaktifkan apabila pengguna klik pada sesuatu video tersebut.
Pelbagai kemaskini seperti memperlihatkan jumlah tontonan dan sebagainya akan diperkenalkan kepada pengguna secara berperingkat bermula minggu ini.