Cari @ Amanz

Pada bulan Julai lalu Jabra Malaysia telah mengemaskini harga beberapa peranti mereka, dan menerima potongan harga sebanyak 30%. Kami telah menulis ulasan berkenaan Jabra Revo Wireless sebelum ini dan untuk peranti kedua ini adalah Jabra Tag, peranti fon audio jenis ‘in-ear’ yang sesuai untuk mereka yang aktif.

[amanz-gallery]

Rekabentuk

Peranti Jabra Tag ini direka dan diberi nama seakan-akan tag askar yang tergantung pada leher namun sekiranya pengguna tidak suka menggantungnya pada leher, pengguna boleh menyangkutkan ia pada baju atau pada tempat yang disukai menggunakan klip yang disediakan. Ia terdapat dalam dua pilihan warna, iaitu hitam dan putih. Pada bahagian depan terdapat butang-butang kawalan utama yang membolehkan pengguna menghidupkan atau mematikan peranti ini, menjawab panggilan, memanggil semula nombor terakhir yang telah didail, mengawal tahap bunyi serta mendengar radio FM. Meskipun ia menggunakan fon audio in-ear, ia boleh dicabut dan pengguna boleh menukarnya dengan fon audio kesukaan pengguna yang sesuai dengan palam 3.5mm. Pada bahagian bawah terdapat lubang Mikro-USB untuk tujuan pengecasan.

Prestasi 

Fon audio ini memerlukan sambungan Bluetooth kepada telefon pintar pengguna. Sepanjang penggunaannya, ia mampu bertahan sehingga 6-7 jam untuk mendengar lagu dan boleh bertahan selama 7-8 jam untuk waktu berbual. Fungsi radio FM-nya boleh berfungsi secara terus, tanpa memerlukan telefon pintar namun kawalannya memerlukan pengguna menekan butang Previous dan Next tanpa mengetahui saluran apa yang dimainkan. Ini mungkin menimbulkan masalah buat pengguna yang ingin mencari saluran tertentu.

Jabra-Tag-IMG_7445

Berkenaan prestasi fon ‘in-ear’-nya pula, seperti peranti Jabra yang lain, terdapat tambahan Eargels yang disediakan bagi kesesuaian pengguna. Melalui ujian audio ringkas, bunyi yang didengari dari ‘in-ear’ ini dirasakan jelas namun dirasakan kekurangan ‘Bass’ dan terlebih ‘Treble’. Mungkin ini ada kaitan dengan harga kerana ia didalam kelas asas. Apapun sekiranya pengguna tidak menyukai bunyi yang dikeluarkan oleh fon audio yang hadir dengan peranti ini, pengguna boleh menukarkannya dengan fon audio yang lain yang menggunakan palam 3.5mm kepada badan Jabra Tag. Bergantung kepada jenis fon audio yang dipunyai, sekiranya ia mempunyai satu kabel dan tidak boleh digantung pada leher, anda masih boleh menyangkutkan Jabra Tag kepada baju anda.

Jabra-Tag-IMG_7466

Pada harga RM199, harganya boleh dikatakan sedikit mahal sekiranya diadili dari prestasi bunyi, namun memandangkan ia boleh ditukar ganti dengan fon audio pilihan anda, dan ia hadir dengan sambungan Bluetooth harganya dirasakan sedikit berbaloi. Salah satu kegunaan menarik adalah anda boleh menyambungkan Jabra Tag dengan palam input pemain audio dirumah atau didalam kereta sekaligus anda mempunyai pemain audio secara Bluetooth dengan telefon pintar anda, disamping memainkan radio FM.

Pro

  • Fon audio yang elegan untuk digantung di leher atau disangkut pada baju.
  • Badan Jabra Tag mempunyai lubang untuk menukar fon audio yang disediakan dengan palam fon audio kegemaran anda.

Kontra

  • Kualiti bunyi yang kekurangan ‘Bass’, dan terlebih ‘Treble’.
  • Tidak mempunyai fungsi storan untuk stesen radio FM.
  • Aplikasi Jabra Sound tidak tersedia untuk peranti ini.

Penafian: seperti bau dan rasa, ulasan berdasarkan pendengaran terhadap peranti audio adalah tertakluk kepada personaliti dan kebolehan penulis itu sendiri. Anda dinasihatkan supaya mencubanya terlebih dahulu sebelum melakukan pembelian.

Markah Jabra Tag

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd