Cari @ Amanz

Symphonet merupakan salah satu syarikat telekomunikasi tempatan yang menawarkan akses internet. Sebelum ini, mereka dilihat hanya memfokuskan kepada pengguna perusahaan sahaja, dan baru-baru ini mereka telah memperluaskan penawaran ke pengguna perumahan.

Apa pun, buat masa ini, lokasi yang ditawarkan masih lagi terhad dan masih dalam proses memperluaskan kawasan liputan secara berperingkat. Daripada pertanyaan kami, antara lokasi yang diliputi sekitar Lembah Klang adalah sekitar Cyberjaya, Ara Damansara, dan juga Cheras. Selain Lembah Klang, Symphonet juga meliputi beberapa kawasan di Johor, Kelantan dan juga Negeri Sembilan. Menurut Symphonet, mereka akan memperluaskan ia ke lebih banyak kawasan perumahan sekitar Malaysia dalam setahun dua ini.

Symphonet

Dari segi pakej tawaran, harga yang ditawarkan oleh Symphonet boleh dikatakan agak murah berbanding beberapa penyedia yang lain. Mereka menawarkan pakej pada harga bermula RM98 sebulan untuk 11mbps, dan turut juga mempunyai pakej lain seperti untuk 22Mbps (RM148), 33Mbps (RM198), 55Mbps (RM248).

Daripada apa yang diketahui, mereka menggunakan rangkaian fiber optik tersendiri, dan seperti kebanyakkan penyedia perkhidmatan lain, setiap pakej hadir dengan kontrak langganan selama 2 tahun. Laman web mereka masih dilihat tidak dikemaskini lagi, dan mungkin kami akan cuba mendapatkan lebih maklumat berkaitan dengan perkhidmatan ini dalam masa terdekat ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd