Cari @ Amanz

Dengan hadirnya pelbagai jenis jam tangan pintar, kini pihak LG turut mempunyai jam tangan mereka tersendiri yang memfokuskan kepada pengguna kanak-kanak, dinamakan sebagai LG kizON. Gelang tangan ini hadir dengan sokongan kad-SIM, membolehkan ia digunakan oleh ibu bapa untuk memantau lokasi dan membuat panggilan terus kepada anak mereka.

Rekabentuk

Gelang tangan pintar ini membawakan rekaan mesra kanak-kanak, dimana ia menggunakan rekaan berasaskan plastik, disamping turut hadir dengan beberapa rekaan luar yang menarik minat kanak-kanak.

LG kizON

Pada bahagian hadapannya, ia hanya sekadar memaparkan sebuah butang panggilan dan juga sebuah mikrofon dengan speaker. Ia membolehkan kanak-kanak yang memakainya membuat panggilan kepada ibu bapa mereka, ataupun sekiranya menerima panggilan, mereka boleh menjawab terus menggunakannya.

Pada bahagian kanan gelang tangan tersebut adalah ruangan pengecasan berasaskan mikro-USB, dan pada bahagian kiri adalah ruangan SIM. Kedua-duanya adalah berpenutup, sekaligus membuatkan ia mungkin boleh digunakan ketika kanak-kanak sedang bermain (terutamanya dikawasan berpasir).

Secara keseluruhan, rekaannya boleh dikatakan mungkin menarik minat kanak-kanak – tetapi salah satu perkara yang akan menjadi faktor jualannya kelak adalah harga jualannya di pasaran.

Fungsi – Panggilan, Geolokasi

Untuk melengkapkan peranti ini, pihak LG turut menyediakan sebuah aplikasi khusus dinamakan kizON. Menggunakannya, pengguna boleh menghubungkan ia kepada gelang tangan tersebut, dan bertujuan untuk para ibu bapa memantau aktiviti dan menghubungi anak mereka.

LG kizON

Melalui aplikasi berkenaan, ia membawakan butang panggilan terus ke jam tangan kanak-kanak tersebut, disamping pengguna turut boleh mendapatkan lokasi semasa kanak-kanak tersebut, selain daripada membolehkan ibu bapa melihat senarai lokasi yang telah dilawati oleh anak mereka.

Penutup

Dari segi rekaan dan fungsi, ia boleh dikatakan agak menarik – dan mungkin memfokuskan kepada ibu bapa yang ingin memantau anak-anak mereka yang dihantar ke tadika dan sebagainya. Pihak LG sendiri mungkin turut boleh memasarkannya dengan kerjasama beberapa watak kartun, dan hadir dengan edisi khusus untuknya – bagi membuatkan kanak-kanak tertarik dengan gelang tangan LG kizON ini.

Apa pun, seperti dikatakan pada awal artikel, harga jualannya akan memainkan salah satu faktor penting yang turut akan meliputi penerimaannya di pasaran kelak.

Bagi anda, apa kata anda berkenaan dengan konsep jam tangan LG kizON ini?

[amanz-gallery]

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd